RM66 juta peruntukan untuk projek pemuliharaan sungai

Tuan Ibrahim (dua,kanan) mencabut undian di Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan KASA Bagi Jajahan Kota Bharu di sini hari ini.
Tuan Ibrahim (dua,kanan) mencabut undian di Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan KASA Bagi Jajahan Kota Bharu di sini hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta daripada Unit Perancangan Ekonomi (UPE) untuk melaksanakan 802 projek pemuliharaan sungai dalam usaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan sebelum ini sebanyak RM80.3 juta membabitkan 615 projek.

Menurutnya, kesemua projek bagi menangani banjir melibatkan pemuliharaan tebing sungai, menaik taraf sistem saliran, kerja-kerja kecemasan di luar jangka dan lain-lain skop yang berkaitan.

"Dianggarkan 500,000 penduduk di kawasan yang telah dikenal pasti akan menerima manfaat apabila projek ini siap menjelang akhir tahun ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Cabutan Undi Bagi Kerja-kerja di Bawah Peruntukan KASA Bagi Jajahan Kota Bharu di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, bagi memastikan pelaksanaan kesemua projek itu dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat, kaedah perolehan yang digunakan melalui sebut harga dan undian melibatkan projek berskala kecil.

Tambahnya, untuk projek bernilai RM100,000 ke bawah, perolehan projek melalui kaedah undian manakala yang bernilai RM800,000 ke bawah dilakukan melalui kaedah sebut harga.

Artikel Berkaitan:

"Untuk permulaan kita buat di Kelantan dan secara keseluruhannya kita ada 100 kerja melibatkan RM6.4 juta dan kita akan buat melalui cabutan undi hari ini.

"Kita harap boleh diselesaikan dalam waktu terdekat dan menjelang bulan 12 ia boleh bantu penduduk setempat daripada musibah banjir yang berlaku," katanya.