Suspek pukul dua pengawal keselamatan sudah didakwa

Pengawal keselamatan mengalami kecederaan di bahagian muka selepas dipukul suspek dalam kejadian 16 September lalu.
Pengawal keselamatan mengalami kecederaan di bahagian muka selepas dipukul suspek dalam kejadian 16 September lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Polis mengesahkan lelaki yang terlibat dalam kejadian pukul dua pengawal keselamatan di Pangsapuri Luminari di sini pada Isnin lalu telah didakwa di mahkamah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditangkap selepas dipercayai bersembunyi di sebuah hotel di Jalan Bandar Perai Jaya, di sini.

Menurutnya, suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah mengaku memukul dua pengawal terbabit sebelum bertindak melarikan diri bersama seorang rakannya.

"Suspek yang tahu dirinya sedang diburu polis cuba bersembunyi di hotel terbabit namun hasil risikan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat,Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah SPU berjaya menangkapnya kurang dalam tempoh 48 jam.

"Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak puas hati ditegur, lelaki belasah dua pengawal

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua pengawal keselamatan cedera di bahagian muka selepas dibelasah seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah pangsapuri di Jalan Habour Place, di sini pada 16 September lalu.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 36 dan 33 tahun sedang bertugas di pintu masuk dihampiri lelaki berkenaan yang menyewa sebuah unit inap desa di situ.

Noorzainy sebelum ini berkata, suspek bertindak menumbuk salah seorang mangsa sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Artikel Berkaitan:

"Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian bibir, bengkak di bahagian kedua belah pipi dan retak pada buku lali sebelah kaki kiri.

"Rakan mangsa yang cuba membantu meleraikan pergaduhan itu turut ditumbuk oleh suspek di bahagian muka dan kepala beberapa kali hingga menyebabkan bengkak dan lebam pada mata sebelah kiri dan sakit pada bahagian kepala.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan tindakan pengawal terbabit yang menegurnya membuat bising semasa dia menyewa di inap desa berkenaan," katanya.