Kedah nafi wujud birokrasi dalam agihan bantuan

Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asri untuk diagihkan kepada penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Alor Setar hari ini.
Muhammad Sanusi (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Asri untuk diagihkan kepada penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Alor Setar hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menafikan wujudnya kerenah birokrasi dalam pengagihan bantuan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya berkata, pengagihan bantuan di kawasan PKPD secara pentadbiran di Kota Setar dan PKPD secara bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard di sini merupakan proses biasa.

Beliau berkata, proses sebegitu perlu dipatuhi untuk memastikan bantuan berkenaan diagihkan secara teratur dan selari dengan undang-undang.

"Langkah-langkah ini mesti dipatuhi. Kita tidak boleh elak semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah diwartakan. Jika tidak, kita terdedah kepada tindakan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman untuk disalurkan kepada penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyerahkan wang tunai berjumlah RM17,600 untuk diedarkan kepada 88 buah keluarga di rumah pangsa berkenaan.

Muhammad Sanusi berkata, mana-mana pihak tidak seharusnya menimbulkan isu kelewatan bantuan atau kerenah birokrasi untuk memberi gambaran buruk kepada kerajaan ketika negeri sedang diancam pandemik koronavirus (Covid-19).

"Kerajaan sentiasa peka dan terkehadapan dalam menghadapi situasi ini, tambahan pula Kedah mempunyai pengalaman berdasarkan pelaksanaan PKPD pentadbiran di beberapa kawasan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, mana-mana pihak yang mahu menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Pangsa Tongkang Yard, boleh menyalurkannya melalui pusat pengumpulan bantuan PKOB di sini.

Artikel Berkaitan: