Roslan puji karakter luar biasa pemain Perak

Pemain Perak meraikan kejayaan menjuarai Piala Tun Abdul Razak selepas mengatasi Terengganu pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi.
Pemain Perak meraikan kejayaan menjuarai Piala Tun Abdul Razak selepas mengatasi Terengganu pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi.
A
A
A

KETUA jurulatih hoki Perak, Roslan Jamaluddin memberi pujian menggunung kepada barisan pemainnya yang muncul juara buat kali ke-10 Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan Terengganu 4-2 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu tidak menyangka barisan pemainnya bangkit bertenaga selepas ketinggalan untuk mengatasi juara dua kali, Terengganu pada aksi sengit berkenaan.

"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana kita berjaya membawa pulang Piala Tun Abdul Razak ke negeri Perak (selepas kali terakhir pada 2018).

"Apa yang kita rancang memang menjadi dan komitmen pemain memang berada pada tahap terbaik. Mereka begitu bersungguh-sungguh termasuk Muhammad Haziq Samsul yang meledakkan tiga gol walaupun bergelut dengan kecederaan hamstring (otot di belakang paha)," katanya ketika ditemui selepas perlawanan berkenaan.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad kebangsaan Arul Selvaraj berpuas hati dengan persembahan beberapa pemain tidak ternama yang menampilkan aksi cemerlang pada saingan tersebut dan akan memanggil mereka menyertai sesi latihan pusat skuad kebangsaan pada Khamis ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mirnawan Nawawi dilantik pengurus skuad lelaki negara

Beliau yang hadir menyaksikan aksi final berkenaan turut berbangga dengan persembahan cemerlang bekas penyerang kebangsaan Faizal Saari dari Terengganu yang meledakkan 18 gol sepanjang kejohanan, sekali gus muncul penjaring terbanyak kejohanan kali ini.

"Saya lebih suka pemain yang mempunyai sikap positif dan bekerja kuat untuk merebut tempat dalam pasukan kebangsaan. Sudah tentu saya akan panggil beberapa pemain tidak ternama pada sesi latihan Khamis ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan turut mendapatkan pandangan daripada pembantu saya, Muhammad Amin Rahim dan ketua jurulatih skuad hoki wanita Mohd Nasihin Nubli Ibrahim serta (pengurus baharu skuad kebangsaan) Datuk Mirnawan Nawawi sebelum memuktamadkan senarai pemain ke sesi latihan nanti," kata Arul.

Pada aksi final itu, bekas pemain kebangsaan Muhammad Haziq muncul wira Perak setelah melakukan jaringan hatrik, masing-masing pada minit ke-30, 32 dan 46, selain gol padang pemain negara, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-17.

Terengganu pula memperoleh dua jaringan, masing-masing menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal seawal minit pertama perlawanan dan minit ke-59.

Perak muncul juara pada edisi 1966, 1973, 1985, 1987, 2013, 2014, 2017, 2018 selain muncul juara bersama Angkatan Tentera Malaysia pada 1990. - Bernama