Bantuan jabatan pendidikan beri sinar buat Nur Qalisya

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN- Kunjungan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Dr Mahanom Mat Sam memberi sinar kepada pesakit kulit kronik, Nur Qalisya Noor Azmi,9 yang hanya terlantar menderita penyakitnya itu sejak enam bulan lalu.

Nur Qalisya, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height kini hanya mampu terlantar di rumah keluarganya di Flat Taman Tun Sardon selepas menghidap penyakit Psoriasis.

Mahanom berkata, bagi memastikan Nur Qalisya tidak ketinggalan dalam pelajaran, guru sekolah tersebut akan hadir ke rumah kanak-kanak itu secara bergilir-gilir untuk mengajarnya.

Menurutnya, usaha itu dibuat kerana melihat semangat Nur Qalisya tidak pernah luntur untuk belajar walaupun tidak sihat.

"Selain itu bagi memastikan Nur Qalisya sentiasa bersemangat untuk belajar, guru kaunseling juga akan hadir ke rumahnya bagi memberikan motivasi kepadanya.

"Saya harap dengan usaha ini, dapat membantu Nur Qalisya untuk belajar dan tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya ketika ditemui media semalam.

Terdahulu, Dr Mahanom bersama beberapa guru SK Minden Height, Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid hadir ke rumah Nur Qalisya bagi lawatan sempena Program Ziarah Cakna di sini.

Dalam lawatan itu, sumbangan dan bantuan turut diberikan kepada keluarga berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Nur Qalisya sebelum ini merupakan seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif kini tidak mampu ke sekolah kerana kulit badannya sangat sensitif dengan cuaca panas.

Ibunya, Noorrehan Che Saad, 33 berkata, sejak enam bulan keadaan Nur Qalisya bertambah teruk sehingga tidak dapat ke sekolah yang mana dia juga tidak dapat menghadiri sesi awal persekolahan tahun ini.

Surirumah itu berkata, anak ketiga dari empat beradik itu mula dikesan menghadapi penyakit itu pada awal Jun tahun lalu.

"Sebelum ini, dia sihat, aktif seperti kanak-kanak lain dan tidak pernah diserang penyakit kulit macam ini. Tapi pada awal Jun tahun lalu, kami mendapati kulitnya mula berubah dan gatal-gatal.

"Disebabkan penyakit kulit ini, dia hanya mampu terlantar kerana keseluruhan kulit badannya akan mengelupas, berasa pedih dan menjadi gatal-gatal. Lebih memyedihkan saya, dia tak dapat ke sekolah dan beritahu saya, dia rindukan alam persekolahan dan kawan-kawannya," katanya.

Noorrehan berkata, Nur Qalisya kini sedang mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang bagi mengubati penyakit kulitnya itu.

"Suami hanya seorang pemandu bas dan setakat ini, hanya membawa Nur Qalisya ke HPP untuk rawatan. Doktor ada maklumkan penyakit ini sukar pulih dan akan berulang semula.

"Tetapi setakat ini rawatan yang diterima di HPP sesuai dengan anak saya. Saya cuma berharap anak saya akan pulih segera dan dapat kembali ke sekolah seperti yang dia mahu," katanya.