Kemenangan GRS jadi model kerjasama PRU-15

KHAIRY JAMALUDDIN
KHAIRY JAMALUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam boleh dijadikan asas dan model kepada kerjasama lebih baik di peringkat nasional, terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, GRS menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN)dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menerima mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

"Rakyat Sabah telah bersuara. Buat yang menang, berbincanglah baik-baik dalam pemilihan Ketua Menteri yang baharu. Kepada yang kalah, diharap dapat berlapang dada dengan keputusan.

"PRN yang berakhir ini juga diharapkan dapat mengakhiri kemelut politik di Sabah yang telah bermula semenjak PRU-14 pada 2018 yang lalu serta dapat membuka lembaran politik baharu yang lebih stabil dan harmoni di Sabah," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tiba masa soal politik diketepikan oleh semua pihak, sama ada yang menang atau yang kalah.

"Fokus utama kerajaan yang dipilih dalam PRN ini perlulah tertumpu kepada tindakan bagi menghentikan penularan wabak Covid-19 yang sangat membimbangkan di negeri Sabah ketika ini.

"Soal kesihatan rakyat Sabah perlulah diutamakan dalam keadaan sekarang ini," katanya.

Artikel Berkaitan: