Maut selepas 18 jam bertarung nyawa

Seorang penunggang motosikal maut manakala isterinya cedera dalam kemalangan di Lebuhraya SILK, semalam. - Foto sumber internet
Seorang penunggang motosikal maut manakala isterinya cedera dalam kemalangan di Lebuhraya SILK, semalam. - Foto sumber internet
A
A
A

KAJANG - Selepas hampir 18 jam bertarung nyawa, seorang penunggang motosikal yang cedera parah akibat kemalangan di Kilometer 2.2 Lebuhraya SILK arah Balakong, di sini, awal pagi semalam meninggal dunia pada hari yang sama.

Dalam kejadian itu, isteri mangsa yang membonceng turut mengalami kecederaan dan patah kaki selepas dilanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika mangsa bersama isterinya yang berada di laluan kanan mengubah laluan ke lorong tengah.

"Sebuah kereta Mini Cooper yang berada di laluan itu gagal mengelak sebelum melanggar mangsa dari arah belakang.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala manakala isterinya dilaporkan patah kaki sebelum dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kira-kira jam 5.40 petang hari yang sama, mangsa berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemandu kereta berusia 23 tahun itu kemudian ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit tidak dikesan berada di bawah pengaruh alkohol namun ujian darah akan dibuat untuk pengesahan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.