Dua muka baharu wanita menang PRN Sabah

Rina Jainal
Rina Jainal
A
A
A

KOTA KINABALU - Tujuh calon wanita termasuk dua muka baharu antara mereka yang berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berakhir semalam.

Antara muka baharu yang berjaya memenangi PRN kali ini ialah Rina Jainal (calon Parti Warisan Sabah) yang menewaskan calon terdekatnya yang mewakili Barisan Nasional (BN) iaitu Chaya Sulaiman.

Mereka merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan dan Rina menang tipis sebanyak 10 undi sahaja.

Rina berjaya memenangi kerusi DUN berkenaan selepas berdepan enam pencabar lain dengan memperoleh 2,834 undi manakala pencabar terdekatnya Chaya memperoleh 2,824 undi.

Muka baharu yang turut memenangi PRN kali ini ialah di kerusi DUN Tulid mewakili Perikatan Nasional (PN), Flovia Ng, 51, yang meraih 2,267 selepas dicabar enam pencabar lain.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew turut mempertahankan kerusi Api-Api dengan majoriti 5,347 undi menewaskan lapan pencabar lain dalam pertandingan Sembilan penjuru.

Empat calon wanita lain yang berjaya memenangi PRN kali ini ialah calon Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mengekalkan kerusi DUN Matunggong manakala selebihnya calon mewakili Warisan masing-masing iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Manis Muka Mohd Darah (Bugaya) dan Jannie Lasimbang (Kapayan).

Terdahulu, seramai 29 calon wanita yang bertanding pada PRN kali ini telah hilang wang deposit setelah gagal meraih 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Artikel Berkaitan: