Bukan rezeki Lang Merah

Antara aksi menarik pertemuan Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Foto Pahang FA
Antara aksi menarik pertemuan Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, malam tadi. Foto Pahang FA
A
A
A

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menyifatkan bukan rezeki Lang Merah untuk melakar kemenangan apabila tewas 2-1 ketika berkunjung ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang pada aksi CIMB Liga Super malam tadi.

Menurut pengendali berusia 43 tahun itu, pemain Hijau Kuning telah memberikan aksi terbaik ketika menyaingi skuad kendalian Dollah Salleh berkenaan.

"Walaupun jaringan Kipre meletakkan Kedah terlebih mendahului Pahang, namun itu bukanlah bermakna kami sudah memenangi perlawanan ini berprofil tinggi seperti ini.

"Kita pun tahu bahawa Pahang bukan lawan yang mudah untuk ditewaskan apabila beraksi di laman sendiri apatah lagi mereka mempunyai barisan pemain yang cukup berkualiti.

"Pemain-pemain saya pun sudah berusaha sehabis baik sepanjang perlawanan ini walaupun ketinggalan 2-1 cuma nasib tidak menyebelahi Kedah pada perlawanan ini.

"Jadi tiada apa yang hendak dikecewakan sebalik saya bangga dan gembira melihat komitmen serta semangat juang tinggi diberikan pemain-pemain Lang Merah yang tidak berputus asa bagi memberi saingan kepada lawan.

"Saya percaya pemain-pemain Kedah akan belajar sesuatu dari kekalahan ini bagi mematangkan lagi permainan bagi perlawanan seterusnya," katanya.

Pada aksi di Kuantan itu, penyerang import dari Ivory Coast Tcheche Kipre terlebih dulu meletakkan pelawat di depan pada minit ke-15.

Artikel Berkaitan:

Namun anak buah Dollah Salleh yang tidak berputus asa kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Adam Reed untuk kedudukan 1-1 babak pertama.

Bersambung babak kedua skuad Tol Gajah tidak mengambil masa lama untuk mendahului lawan apabila Nik Muhammad Sharif Mohd Lazim memanfaatkan kealpaan pertahanan Lang Merah pada minit ke-46 untuk gol kedua pasukannya.

Sementara itu tegas Aidil Sharin tumpuan selepas ini adalah mempersiapkan pasukan untuk perlawanan berikutnya iaitu menentang Melaka United yang dijadualkan berlangsung di Alor Setar.

"Ya, kami akan melakukan beberapa penambahbaikan menjelang aksi menentang Melaka United kerana mereka juga lawan yang bagus.

"Melaka United akan bermain malam ini, jadi secara tidak langsung memberikan sedikit kelebihan kepada kami melakukan persediaan lebih rapi menjelang perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, Dollah menyifatkan kemenangan ke atas Lang Merah sebagai suntikan semangat menjelang aksi menentang Perak selepas ini.

"Saya ucapkan tahniah kepada semua pemain-pemain Pahang yang memberikan aksi terbaik pada malam ini.

"Sebenarnya Pahang menguasai perlawanan pada separuh masa pertama, namun satu kesilapan daripada pemain menyebabkan kita ketinggalan pada mulanya.

" Apapun, alhamdulillah, pemain Pahang tidak hilang fokus dan tidak berputus asa sebaliknya bangkit kembali menyaingi Kedah," katanya.