ATM Guardians tekad cipta kejutan

Pertemuan antara ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Titiwangsa semalam. -Foto SepakTakraw League
Pertemuan antara ATM Guardians dan Negeri Sembilan Antlers di Stadium Titiwangsa semalam. -Foto SepakTakraw League
A
A
A

ATM Guardians bertekad untuk cuba melakar kemenangan ke atas pasukan pilihan, Johor Tigris dalam aksi Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Pengurus ATM Guardians, Mejar Tajul Hisyam Mamat berkata, pasukan itu akan turun dengan semangat berbeza selepas mendapat tonik kemenangan ke atas Negeri Sembilan Antlers dalam aksi semalam.

"Kita harap kemenangan hari ini (semalam) dapat menaikkan kembali semangat pasukan dan membina keyakinan dalam diri pemain. Johor merupakan sebuah pasukan yang kuat, namun dalam perlawanan apa jua boleh berlaku.

"Bagi saya Insya-ALLAH kemenangan boleh dicapai. Peluang itu tetap ada dan apa yang penting adalah kita cuba buat yang terbaik," katanya kepada Sinar Ahad semalam.

Sebelum ini, pasukan ATM mencatatkan dua kekalahan berturut-turut kepada KL Thunder dan Kelantan Warriors sebelum bangkit menewaskan Negeri Sembilan Antlers semalam.

Menurutnya, dua kekalahan berturut-turut yang dialami pasukannya diakui sedikit sebanyak menjejaskan moral pemain-pemain.

"Kelemahan yang kita nampak adalah keyakinan dalam diri pemain.Mula saingan liga kita dah jumpa pasukan kuat dan ia memberikan tekanan kepada pemain.

"Dari segi permainan hari ini (semalam) walaupun kita menang,tetapi ia bukan persembahan terbaik pasukan. Ada ruang untuk kita memperbaiki kelemahan dan tampil lebih konsisten selepas ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: