Kesan pergolakan politik

A
A
A

APABILA Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa beliau mempunyai cukup sokongan ahli Dewan Rakyat untuk tubuh kerajaan baharu, harga saham di Bursa Malaysia jatuh sedikit tetapi naik semula untuk ditutup lebih tinggi pada petang Jumaat lalu.

Ia adalah perkara biasa bagi pasaran saham. Harganya naik dan turun berdasarkan sentimen pelabur. Apabila mereka beli, harga akan naik tetapi kalau mereka tidak yakin, mereka akan jual dan harga akan turun.

Pada awal tahun ini, ketika pemerintahan Pakatan Hara-pan (PH) dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, indeks FTSE Bursa Malaysia berada di atas paras 1,600 mata. Jumaat lalu ia berada pada paras 1,509.15 mata. Apabila kerajaan PH ditumbangkan, indeks jatuh kepada sekitar 1,350 mata sebelum naik semula kepada paras sekarang.

Jadi, apabila Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Edmund Santhara Kumar menyuarakan kebimbangan bahawa dakwaan Anwar itu mungkin menjejaskan penarafan bon kerajaan Malaysia, ia ada asasnya.

Cuma, kita kena bezakan unsur politik daripada ekonomi dalam kenyataan Dr San-thara itu kerana beliau asalnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi keluar bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi menyertai Bersatu. Jadi, tidak hairanlah jika analisisnya anti-Anwar.

Memang betul kalau pengumuman Anwar itu dianggap boleh mengganggu gugat pengurusan ekonomi negara, mungkin penarafan ke atas Surat Jaminan Kerajaan oleh firma penafaran antarabangsa, FTSE Russell akan jatuh.

Ia boleh memberi kesan tidak baik kepada nilai bon kerajaan Malaysia. Kerajaan amat bergantung kepada hutang bagi membiayai pembangunan negara. Tanpa berhutang, kerajaan tidak cukup duit untuk membiayai pembangu-nan negara. Duit cukai hanya cukup untuk bayar gaji dan pencen kakitangan awam, selenggara pentadbiran dan bayar balik hutang.

Nilai berkurangan

Artikel Berkaitan:

Oleh sebab itulah, tidak mudah bagi kerajaan mengambil semula seramai 55,000 kakitangan kontrak seperti yang dituntut Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) baru-baru ini.

Dr Santhara mendakwa, sekiranya penarafan Surat Jaminan Kerajaan diturunkan, nilainya mungkin berkurangan sebanyak RM33 bilion. Kita harap kebimbangan beliau itu tidak menjadi kenyataan.

Namun, kita tidak perlu hairan jika pergolakan politik sejak rampasan kuasa pintu belakang oleh PN pada Mac lalu menakutkan pelabur.

Sekarang kita berdepan pula dengan kemungkinan PN tumbang dan digantikan kerajaan baharu. Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti yang kuat termasuk sokongan sebahagian Ahli Dewan Rakyat UMNO.

Ia disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata beliau dimaklumkan ramai Ahli Dewan Rakyat UMNO menyokong Anwar dan beliau tidak dapat menyekat mereka.

Alasan itu luar biasa kerana jika UMNO masih bersatu padu dan terus bersama PN, Ahmad Zahid tentu boleh mempengaruhi mereka supaya kekal menyokong kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi nampaknya Ahmad Zahid sendiri tidak lagi komited menyokong PN.

Hubungan dengan Pas pasti menjadi lebih rumit dengan perkembangan terbaharu itukerana Pas telah berikrar akan terus menyokong PN.

Sekiranya Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti khususnya daripada UMNO dan berjaya mengatasi pelbagai halangan, beliau akan tercatat sebagai seorang pencipta sejarah.

Beliau akan muncul sebagai pemimpin Malaysia yang berjaya membuatkan UMNO menerima PKR dan tidur sebantal dengan DAP.

Soalnya, bolehkah ahli dan penyokong UMNO mengizinkan parti mereka bersekedudukan dengan PKR dan DAP yang selama ini menjadi musuh ketat mereka?

Adakah UMNO sudah begitu lemah setelah kalah PRU 2018 dengan ramai pemimpin kanannya berdepan kemungkinan dipenjarakan, maka retak sedang menanti belah? Atau kita akan menyaksikan sekali lagi Anwar berteriak: Serigala! Serigala! Serigala!

Wallahuaklam.