Cabaran rundingan damai

Afghanistan
Afghanistan
A
A
A

PADA 12 September lalu, kerajaan Afghanistan di bawah pimpinan Presiden Ashraf Ghani telah memulakan rundingan damai dengan pihak Taliban di Doha, Qatar. Rundingan damai intra-Afghanistan itu merupakan sebahagian proses yang telah bermula sejak Februari lalu ketika Amerika Syarikat (AS) dan Taliban membuat perjanjian mengundurkan tentera AS dari Afghanistan.

Perjanjian itu menetapkan tempoh masa sehingga Mei 2021 bagi pengunduran tentera AS dari Afghanistan dengan syarat Taliban tidak akan menyokong mana-mana pengganas seperti al-Qaeda untuk bertapak di wilayah mereka bagi menyerang AS atau sekutunya. Selain itu, Perjanjian AS-Taliban turut menyatakan perlu diadakan rundingan damai antara Afghanistan dan Taliban. Rundingan damai itu bertujuan mengakhiri konflik selama dua dekad yang telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa.

Dari awal rundingan damai, intra-Afghanistan sudah berhadapan pelbagai cabaran. Ia seharusnya bermula pada Mac, namun ia terpaksa ditangguhkan kerana isu pertukaran tahanan. Perkara itu berdasarkan kepada Perjanjian AS-Taliban di mana menjelang rundingan, kerajaan Afghanistan sepatutnya membebaskan seramai 5,000 tahanan Taliban. Sebagai balasan, Taliban pula akan membebaskan seramai1,000 anggota pasukan keselama-tan yang ditahan oleh mereka. Dalam isu pembebasan tahanan, Taliban enggan berkompromi. Mereka menegaskan syarat itu mesti dipenuhi.

Namun, kerajaan Afghanistan membalas bahawa mereka tidak pernah dirujuk dan syarat itu hanya dipersetujui antara AS dan Taliban tanpa mendapat sokongan Afghanistan. Namun, Afghanistan akur dengan syarat tersebut, dengan harapan untuk memperoleh beberapa konsesi daripada Taliban sebagai balasan kepada pembebasan tahanan.

Bagaimanapun, ia tidak menjanjikan proses rundingan berjalan lancar kerana keganasan dan serangan antara Taliban dengan pasukan keselama-tan masih berlaku di Afghanistan walaupun rundingan damai sedang diadakan di Qatar.

Di wilayah Uruzgan selatan Afghanistan, pusat pemeriksaan keselamatan menjadi sasaran serangan Taliban. Sekurang-kurangnya 28 anggota polis Afghanistan terbunuh. Pasukan keselamatan Afghanistan terus menyerang kedudukan Taliban. Terbaharu, ketika serangan udara dilancarkan ke atas kedudukan Taliban di wilayah utara Kunduz, seramai 24 orang awam telah terkorban.

Serangan

Serangan-serangan itu adalah manifestasi kedua-dua pihak masih mahu mempertahankan kedudukan masing-masing dan mencapai kemenangan mutlak. Mereka enggan berkompromi walaupun rundingan damai sedang diadakan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada 23 September, Presiden Ashraf Ghani pada persidangan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menyeru masyarakat antarabangsa supaya membantu negaranya mencapai kedamaian dan kejayaan dalam rundingan damai dengan Taliban.

Katanya, untuk mencapai kedamaian yang berkekalan, punca yang mendorong keganasan di Afghanistan mesti dikenal pasti dan diatasi bersama secara global. Presiden Ashraf menyatakan kerajaannya komited mengadakan rundingan damai dengan Taliban. Beliau menegaskan, komitmen sahaja tidak mencukupi kerana pendorong utama pergolakan politik di Afghanistan adalah gelombang keganasan global. Rangkaian pengganas berkait rapat dengan rangkaian jenayah global menjadikan konflik bersifat tidak konvensional dan usaha membina perdamaian lebih mencabar.

Selain itu, kedua-dua pihak belum lagi mampu mencapai persetujuan apakah jenis kerajaan yang bakal dibentuk sekiranya Taliban bersedia berdamai dengan pemerintah Afghanistan. Taliban telah menegaskan bahawa mereka berusaha untuk mendirikan sebuah negara yang berasaskan perundangan Islam. Matlamat itu telah menjadi asas perjuangan Taliban sejak dahulu dan mereka tidak akan berkompromi. Persoalannya adakah kerajaan Afghanistan yang masih disokong oleh AS bersedia menerima syarat itu?