Covid-19: Amaran kematian meningkat dua juta

Michael Ryan
Michael Ryan
A
A
A

GENEVA - Angka kematian akibat koronavirus (Covid-19) boleh meningkat lebih dua kali ganda kepada dua juta orang sekiranya tiada tindakan kolektif diambil ke atas pandemik tersebut.

Amaran itu diberikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berikutan jumlah korban akibat virus itu kini mencecah hampir sejuta orang.

“Sejuta kes kematian dalam tempoh kira-kira sembilan bulan ialah angka yang sangat mengerikan. Kita perlu bertindak segera untuk mengelakkan peningkatan jumlah kematian akibat Covid-19,” ujar Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan semalam.

Wabak yang menular dengan cepat di seluruh dunia itu turut mendorong penghasilan vaksin bagi merawat Covid-19.

Susulan itu, WHO kini sedang meneruskan rundingan dengan China berhubung penglibatan agensi kesihatan PBB itu dalam skim pembiayaan COVAX yang ditubuhkan bagi menjamin akses pantas dan adil di seluruh dunia untuk mendapatkan vaksin virus tersebut.

Menurut Penasihat Kanan WHO dan Program Menyokong Vaksin, Rawatan dan Diagnostik terhadap Covid-19, Bruce Aylward, perbincangan masih dilakukan dan Taiwan turut mendaftar kepada skim tersebut walaupun ia bukan negara anggota WHO.

Difahamkan, sebanyak 159 negara sudah mendaftar dan kira-kira 34 masih belum membuat keputusan.

Dalam perkembangan berkaitan, WHO turut menerbitkan draf kriteria untuk penilaian bagi penggunaan vaksin Covid-19 yang bertujuan untuk memberi garis panduan kepada kebanyakan penghasil vaksin yang telah memasuki fasa ujian akhir.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pegawai kesihatan di Beijing mendakwa mereka mendapat sokongan agensi kesihatan PBB itu untuk memulakan eksperimen suntikan vaksin kepada orang ramai walaupun ujian klinikal sedang dilakukan. - AFP