PM baharu Lubnan letak jawatan

MUSTAPHA ADIB
MUSTAPHA ADIB
A
A
A

BEIRUT - Perdana Menteri Lubnan yang baru dilantik meletak jawatan hari ini kerana gagal membentuk kerajaan untuk membawa negara itu keluar daripada krisis ekonomi terburuk dalam tempoh beberapa dekad.

Ia diburukkan lagi dengan insiden letupan bekalan ammonium nitrat pada 4 Ogos lalu.

"Saya menarik diri daripada tanggungjawab ini. Saya mohon maaf kepada rakyat Lubnan atas ketidakmampuan saya merealisasikan aspirasi untuk menubuhkan pasukan reformis," ujar Mustapha Adib, 48, menerusi ucapan disiarkan stesen TV.

Sejak pelantikannya pada 31 Ogos lalu, beliau berdepan tekanan membentuk Kabinet baharu secepat mungkin untuk melakukan pembaharuan yang diperlukan bagi memperoleh bantuan dana asing berjumlah berbilion dolar.

Usaha bekas Duta Lubnan ke Jerman itu untuk menamakan barisan baharu telah dihalang oleh dua parti utama mewakili komuniti Shiite terbesar di Lubnan, Amal dan Hizbullah.

Kedua-dua parti berkenaan didakwa enggan menarik balik tuntutan untuk memastikan Kementerian Kewangan berada di bawah kawalan mereka.

Pembentukan kerajaan di Beirut biasanya mengambil masa beberapa bulan yang sebelum ini dilaksanakan di bawah perjanjian perkongsian kuasa sejak perang saudara pada 1975-90.

Sementara itu, pejabat Presiden, Michel Aoun memaklumkan beliau menerima peletakan jawatan tersebut dan akan mengambil langkah bersesuaian dengan kehendak Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu, Aoun memberi amaran negara itu bakal terjerumus ke dalam 'neraka' jika parti politik yang bersaing tidak membantu Adib membentuk Kabinet baharu. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN:

https://www.sinarharian.com.my/article/99064/GLOBAL/Duta-dapat-sokongan-pegang-jawatan-Perdana-Menteri-Lubnan

https://www.sinarharian.com.my/article/102197/GLOBAL/Bentuk-kerajaan-atau-Lubnan-terjerumus-ke-dalam-neraka