MAIWP bakal terapkan TVET di Darul Kifayah

MAIWP akan memperkasakan fungsi Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah berasaskan TVET mulai 2022 atau 2023. - Foto MAIWP
MAIWP akan memperkasakan fungsi Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah berasaskan TVET mulai 2022 atau 2023. - Foto MAIWP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memperkasakan fungsi Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mulai 2022 atau 2023.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, langkah itu berikutan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam bidang TVET semakin melonjak sejajar dengan kepesatan teknologi Revolusi Industri 4.0.

“TVET juga mempunyai peranan sebagai penyumbang ke arah merealisasikan Malaysia sebagai negara maju dengan hampir satu juta pekerjaan memerlukan sijil vokasional dan diploma menjelang 2030,” katanya ketika berucap melancarkan majlis Anugerah Anakku Cemerlang Darul Kifayah 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi memacu perkembangan Malaysia seiring dengan negara maju lain, jurang kemahiran perlu dirapatkan dan TVET perlu diberikan keutamaan.

"MAIWP menyahut seruan dan saranan kerajaan dengan pelbagai usaha giat dijalankan untuk merealisasikan hasrat menjadikan Kompleks Darul Kifayah sebagai sebuah sekolah yang berasaskan TVET dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengesyorkan Darul Kifayah melaksanakan program portal pendidikan tuisyen, i-LEARN Ace kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan mulai Januari 2021 sebagai usaha menjadikan pelajar di bawah seliaan MAIWP golongan berilmu.

“Kaedah ini, Insya-ALLAH akan dapat membantu pelajar untuk menambah pengetahuan dan memantapkan penguasaan pelajar bagi setiap mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar Darul Kifayah mengambil inisiatif memperkenalkan modul pembelajaran tambahan kepada pelajar dalam bidang pertanian yang dikenali sebagai Laman Pertanian Bandar.

Artikel Berkaitan:

“Program pertanian seperti ini bersesuaian dengan kedudukan dan keluasan Kompleks Darul Kifayah itu sendiri.

“Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat yang telah melaksanakan program ini dan telah memberi impak yang besar khususnya dalam menjana pendapatan,” katanya. - Bernama