Warga Bangladesh maut kereta rempuh tiang elektrik

Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa bersama empat rakannya yang melanggar tiang elektrik di Kilometer (KM) 89 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati, Dungun pagi tadi. -Foto: Ihsan pembaca
Keadaan kereta Perodua Kancil yang dinaiki mangsa bersama empat rakannya yang melanggar tiang elektrik di Kilometer (KM) 89 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati, Dungun pagi tadi. -Foto: Ihsan pembaca
A
A
A

DUNGUN- Seorang warga Bangladesh maut apabila kereta dinaiki bersama empat lagi rakannya hilang kawalan sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer (KM) 89 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati, di sini pagi tadi.

Insiden kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan mangsa, Md Hasanuzzaman, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama empat lagi rakan senegaranya menaiki kereta jenis Perodua Kancil dipercayai dalam perjalanan dari Jerangau menghala ke Jabor di sini.

"Setibanya di lokasi, kereta yang dipandu rakannya dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

"Bimbang dan terkejut dengan situasi itu, rakan-rakannya termasuk pemandu melarikan diri meninggalkan mangsa yang cedera parah berseorangan di dalam kereta.

"Namun kesemua mereka akhirnya berjaya dikesan semula sekitar jam 3.10 petang tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, susulan kemalangan itu empat lagi rakan mangsa yang berusia antara 24 hingga 50 tahun turut mengalami kecederaan ringan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala empat lagi rakan mangsa turut menerima rawatan di hospital yang sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.