Lelaki terkena peluru sesat ketika pasang jerat

Baharudin Abdullah
Baharudin Abdullah
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki cedera di bahagian kanan pinggang akibat terkena peluru sesat ketika sedang memasang jerat untuk menangkap ayam di hutan berhampiran rumahnya di Kampung Besul lama, Bukit Besi di sini, semalam.

Kejadian menimpa mangsa hanya diketahui bapanya, 60, selepas melihat mangsa menahan kesakitan di depan pintu rumah, kira-kira jam 6.50 petang sebelum membawa anak lelakinya itu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bukit Besi, di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, sebelum itu, lelaki berusia 34 tahun tersebut dikatakan pergi ke kebun durian berseorangan dengan menunggang motosikal Honda EX5 untuk memasang jerat ayam hutan, kira-kira jam 2.30 petang.

Katanya, semasa sedang menyiapkan jerat, mangsa memaklumkan terdengar bunyi tembakan sebelum merasa sakit di sebelah kanan badannya.

"Meskipun dalam kesakitan, mangsa masih sempat berjalan menuju motosikal yang diparkir berhampiran lokasi tetapi kemudian tidak sedarkan diri.

"Mangsa memaklumkan tidak tahu siapa yang menyelamatkannya dan menghantar balik ke rumah kerana dia hanya sedar ketika sudah berada di rumahnya.

"Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mengeluarkan peluru tersebut. Dia didapati dalam keadaan baik dan tidak mengalami pendarahan dalaman, siasatan lanjut berhubung kes berkenaan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Artikel Berkaitan: