X

Kindly register in order to view this article
!

KKMM sedia bantu polis siasat kes curi data rakyat

SAIFUDDIN
A
A

KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedia membantu pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan berhubung sebuah syarikat di China yang didakwa mengumpul data 1,400 rakyat negara ini seperti dilaporkan sebuah portal berita antarabangsa sebelum ini.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, dalam apa juga siasatan, KKMM sentiasa membantu sekiranya diperlukan dan sekiranya PDRM minta bantuan, KKMM akan memberikan kerjasama.

"Kita ada dua agensi di bawah KKMM yang sentiasa membantu pihak berkuasa membuat siasatan iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyber Security Malaysia (CSM).

"Bila pihak berkuasa minta bantuan kita ada pakar-pakar dalam bidang tertentu yang boleh membantu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bengkel Latihan YouTube dan Komuniti Sinema Zon Pantai Timur anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri

Saifuddin berkata, setakat ini beliau tiada maklumat sama ada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak bagi membantu dalam siasatan kes itu atau sebaliknya.

Sebelum ini sebuah agensi berita antarabangsa melaporkan sebuah syarikat yang mempunyai kaitan tentera dan perisikan di China didakwa mengumpul data 1,400 rakyat Malaysia.

Susulan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenalpasti kebenaran dakwaan tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan.

Berdasarkan laporan tersebut jumlah itu antara data 250,000 individu yang bocor daripada pangkalan Zhenhua Data, yang menyimpan maklumat 2.4 juta orang.

Mengulas berhubung Program Bengkel Latihan YouTube dan Komuniti Sinema Zon Pantai Timur itu, Saifuddin berkata, ia antara usaha Finas membangunkan bakat dan kreatif generasi muda dan belia dalam bidang baharu melalui platform You Tube.

Menurutnya, program itu bertujuan memberi pendedahan dan pembangunan kemahiran You Tube kepada komuniti sebagai peluang kerjaya bagi menjana pendapatan.

"Objektif kita menggalakkan anak-anak muda berkarya bagi menyerlahkan potensi kreativiti masing-masing melalui platform baharu khususnya di You Tube.

"Kursus seperti ini diadakan bagi mendedahkan mereka (peserta) kepada kemahiran untuk menghasilkan kandungan kreatif digital yang berkualiti dan membawa mesej positif berimpak kepada masyarakat," katanya.

Seramai 250 peserta mengikuti bengkel yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), di sini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!