Masjid pelancongan tarikan baharu dalam industri: Nancy Shukri

Muhammad Nasir (kanan) menyerahkan Al-Quran kepada Nancy (kiri) di Masjid Darul Iman Sadong Jaya di sini.
Muhammad Nasir (kanan) menyerahkan Al-Quran kepada Nancy (kiri) di Masjid Darul Iman Sadong Jaya di sini.
A
A
A

BATANG SADONG - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan masjid sebagai satu produk pelancongan ‘niche’ yang menerima sambutan menggalakkan daripada negara bukan Islam seperti Korea, Jepun dan Taiwan.

Berkongsi hasil kajian berkaitan ‘Profil Masjid Tarikan Pelancongan Dalam Industri Pelancongan di Malaysia’ oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) Nancy berkata, ITC mendapati 80 masjid di seluruh Malaysia sudah bersedia untuk menjadi masjid pelancongan.

“Di Sadong Jaya, terdapat 10 buah masjid dan 17 buah surau yang boleh dibangunkan sebagai pelancongan masjid yang berperanan sebagai ‘one stop centre’ untuk pelbagai kemudahan pelancong termasuk menyediakan kaunter informasi, pemandu pelancong masjid dan pelbagai lagi.

“Dengan memartabatkan pelancongan masjid, kita juga boleh mengangkat seni warisan Islam menerusi reka bentuk, senibina, ukiran dan sejarah,” katanya dalam satu kenyataan sempena Program Penyerahan Cek dan Al Quran di Masjid Masjid Darul Iman Sadong Jaya, di sini.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu turut menzahirkan penghargaannya kepada Kumpulan Karangkraf apabila Timbalan Pengerusinya sendiri, Datuk Muhammad Nasir Hamzah sanggup turun padang untuk bersama-sama bagi menyerahkan Al-Quran kepada beliau.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Ketua Pengarah ITC MOTAC, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan dan Pengarah MOTAC Sarawak, Suriya Charles Buas serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo.

Mengulas lanjut prospek masa depan industri pelancongan Islamik khususnya di kawasan itu, Nancy berkata, Batang Sadong terdiri daripada kira-kira lebih 60,000 jumlah populasi yang mana majoritinya adalah daripada Melayu, Iban dan Cina.

“Saya telah mengenal pasti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya ini sebagai destinasi untuk kita memperkenalkan sebagai pelancongan Islam. Menyedari potensi besar ini, MOTAC menerusi pusat ITC telah merancang melaksanakan pelbagai inisiatif.

Artikel Berkaitan:

“Ia untuk meneroka pelbagai peluang dalam segmen pasaran ini, seterusnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Islam pilihan utama terutamanya pada pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata, ia penting kerana asas ekonomi negara perlu dibina semula terutama bagi mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu Nancy berkata, MOTAC sentiasa berusaha memperkenalkan produk-produk pelancongan dan kebudayaan yang menarik di negara ini, terutama sub-sektor pelancongan dan kebudayaan yang dikenalpasti belum dieksploitasi sepenuhnya.

“Pada zaman Rasulullah SAW, masjid dijadikan sebagai pusat kebudayaan dan ilmu, muamalat, perkembangan dakwah bahkan kemajuan serta ketamadunan Islam juga bermula dari masjid.

“Oleh itu, inisiatif mengimarahkan masjid bukan hanya tertumpu kepada aktiviti ibadat dalam kalangan umat Islam semata-mata, sebaliknya, peranan masjid yang terlebih dahulu dilaksanakan Rasulullah SAW kini diubah suai sejajar dengan perkembangan dunia hari ini,” katanya.