X

Kindly register in order to view this article
!

Jenamakan semula tugas pengawal keselamatan

Saravanan (tengah) menyampaikan Pakej Rangsangan Ekonomi Penjana kepada majikan dan pekerja sempena Karnival PenjanaKerjaya di Sungai Siput hari ini.
A
A

SUNGAI SIPUT - Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk menjenamakan semula tugas dan peranan pengawal keselamatan di negara ini dengan menggantikan khidmat tenaga kerja asing kepada bekas tentera.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, langkah itu bagi memberi peluang kepada anggota tentera yang berpencen awal pada usia 40 tahun mendapatkan peluang pekerjaan selain dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing khususnya dari Nepal.

Pada masa ini katanya, cadangan itu telah pun dibincangkan di peringkat kementerian dan akan dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat.

"Saya dah minta Ketua Setiausaha Kementerian untuk mengkaji dan bincang dengan Kementerian Pertahanan sama ada boleh buat satu 'rebranding' terhadap tugas pengawal keselamatan dengan mengambil anggota-anggota tentera yang telah bersara.

"Kita mahu pengawal keselamatan dengan imej (baik), dengan itu kita boleh tingkatkan pendapatan, tukar uniform, beri imej baru, bukan lagi duduk dengan senapang patah di hadapan kedai-kedai emas.

Saravanan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.
Saravanan ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

"Tambahan pula dalam tempoh ini, anggota tentera juga perlu diberi perhatian kerana dengan usia 40 tahun dan dah bersara, sukar untuk mereka mendapatkan peluang pekerjaan lagi," katanya ketika berucap merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Infrastruktur Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, Pengerusi Maju Institute of Education Development (MIED), Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi Lembaga Perkeso, Tan Sri Dr Mohammed Haniffa Abdullah.

Dalam pada itu pada sidang akhbar, Saravanan berkata, krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) ini, kerajaan tidak boleh membenarkan kemasukan tenaga asing walaupun terdapat permintaan tinggi daripada syarikat-syarikat keselamatan.

Justeru menurutnya, kementerian perlu merangka pelan lain, satu daripadanya melahirkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan khususnya bekas-bekas tentera.

"Sudah tiba masa imej pengawal keselamatan kita diubah agar setanding dengan negara luar dan saya nak kalau boleh mahu institusi perbankan dan kedai-kedai emas mengambil pengawal keselamatan bawah usia 60 tahun.

"Nama jawatan pun pengawal keselamatan jadi dia kena ada keupayaan jamin keselamatan diri dan orang awam yang lain," katanya.

Saravanan menyantuni masyarakat Sungai Siput sempena Karnival PenjanaKerjaya di Sungai Siput hari ini.
Saravanan menyantuni masyarakat Sungai Siput sempena Karnival PenjanaKerjaya di Sungai Siput hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata, trend kehilangan pekerjaan di negara ini terus menunjukkan penurunan apabila merekodkan pengurangan 44 peratus kepada 9,261 orang pada Ogos berbanding 16,660 orang pada bulan sebelumnya.

"Kementerian menjangkakan penurunan dalam jumlah kehilangan pekerjaan ini akan berterusan sekaligus dapat merangsang pemulihan ekonomi negara," katanya.

Sungai Siput merupakan destinasi kelima siri jelajah KarnivalPenjana selepas Tapah, Melaka, Hulu Selangor dan Seremban dengan menyediakan lebih 10,000 kekosongan jawatan daripada 20 majikan. Menerusi empat lokasi jelajah sebelum ini, seramai 1,419 warga tempatan telah ditawarkan pekerjaan manakala sekurang-kurangnya 25 peratus yang hadir berjaya ke pusingan kedua temuduga.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!