X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP kesan 78 kes jualan murah

Rosol (tengah) meninjau produk PKS yang menyertai Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia di KTCC Mall hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan 78 kes melanggar peraturan jualan murah dari Januari sehingga Ogos tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kes melibatkan pelbagai kesalahan jualan murah itu membabitkan rampasan sebanyak RM44,604 dan nilai kompaun RM23,150.

"Antara kesalahan jualan murah yang dikesan adalah peniaga meletakkan harga jualan mengelirukan pengguna, peniaga tidak mempamerkan notis jualan murah dan mengadakan jualan murah tanpa notis.

"Oleh itu kita harap pengguna peka dengan perkara ini dan sentiasa memeriksa resit selepas bayaran dibuat bagi mengelak ditipu selain membuat aduan kepada KPDNHEP," katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat negeri Terengganu di KTCC Mall di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Kempen selama empat hari bermula 24 September lalu itu disertai 41 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 32 outlet.

Rosol berkata, sejak Program Jualan Murah dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 diadakan pada Julai lalu pihaknya turut merekodkan 20 kes melibatkan nilai kompaun sebanyak RM15,000.

"Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2020 diadakan secara serentak sepanjang bulan Julai hingga Disember 2020 bagi memulih dan memperkasakan sektor peruncitan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kedua kempen ini akan dilaksanakan secara agresif, komprehensif dan inklusif menerusi konsep norma baharu iaitu jualan di premis dan pematuhan SOP yang ditetapkan," katanya.

Mengikut rekod Program Jualan Malaysia 2020, KPDNHEP menerima penyertaan sebanyak 63,714 'outlet' di seluruh negara yang mengadakan jualan murah dan daripada jumlah itu, 1,474 'outlet' adalah di Terengganu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!