Covid-19: Empat masjid ditutup sementara

Penyebaran hebahan penutupan masjid melalui aplikasi WhatsApp semalam.
Penyebaran hebahan penutupan masjid melalui aplikasi WhatsApp semalam.
A
A
A

KUANTAN - Empat buah masjid di sini diarah tutup buat sementara waktu termasuk solat fardu dan Jumaat berkuatkuasa semalam susulan terdapat kes jangkitan positif koronovirus (Covid-19) di kawasan berhampiran.

Masjid terlibat ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukan Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid daerah al-Hidayah.

Pengerusi MSAS Sungai Isap, Dr Sharafuddin Aisa Osman berkata, penutupan sementara itu dibuat selepas terdapat kes jangkitan positif Covid-19 di kawasan berhampiran.

"Semalam, saya dimaklumkan oleh kadi Kuantan bahawa empat masjid tersebut perlu ditutup selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan individu positif Covid-19.

"Jadi, solat Jumaat dan solat fardu serta segala bentuk aktiviti perlu ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Semalam, tular satu hebahan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai penutupan lima masjid susulan KKM mengesan satu kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan, satu kes positif baharu Covid-19 dikesan melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari Sabah, petang semalam.

Beliau berkata, justeru, semua jemaah dan ahli kariah dinasihatkan solat di rumah atau surau dan masjid berdekatan yang lain sementara menunggu tindakan lanjut oleh pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dr Sharafuddin berkata, azan dan solat akan didirikan oleh pegawai masjid bertugas seperti biasa namun jemaah dan ahli kariah tidak digalakkan untuk hadir berjemaah di masjid.

Katanya, notis akan ditampal di pagar dan pintu masuk masjid untuk memaklumkan langkah yang diambil itu kepada jemaah serta orang awam.

“Insya- Allah, semua ibadat dan aktiviti di masjid ini akan diteruskan kembali selepas semua tindakan pembersihan, pengesahan daripada pihak berwajib dilakukan atau sehingga keadaan mengizinkan,” katanya.