'Bulan ini sudah lima kali banjir kilat'

Penduduk memindahkan barang-barang berharga ke tempat tinggi selepas rumah mereka dinaiki banjir kilat di Kampung Perik, Kuala Nerang, semalam. - Foto Ihsan penduduk
Penduduk memindahkan barang-barang berharga ke tempat tinggi selepas rumah mereka dinaiki banjir kilat di Kampung Perik, Kuala Nerang, semalam. - Foto Ihsan penduduk
A
A
A

KUALA NERANG - Sekurang-kurangnya lima kali insiden banjir kilat terpaksa dihadapi oleh 20 keluarga dalam sebulan dan mereka terpaksa menumpang sementara di rumah saudara - mara atau jiran jika rumah mereka di Kampung Perik, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang ditenggelami air.

Seorang penduduk, Mohd Azlan Abd Hamlim, 33, berkata, semalam merupakan kejadian terbaru apabila hujan yang bermula dari 6 petang hingga 9 malam itu menyebabkan rumahnya ditenggelami air hampir dua meter.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat lebih dua jam, kawasan tersebut akan dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengangkat barangan ke tempat lebih tinggi.

"Bulan ini sahaja sudah lima kali banjir kilat dan banyak peralatan rumah yang rosak.

“Semalam kejadian terbaru apabila air dari sungai berdekatan melimpah kira-kira jam 10 malam dan naik melintas jalan raya lalu menyebabkan kawasan rendah ditenggelami air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Mohd Azlan, setiap kali musibah tersebut berlaku, dia akan membawa anak -anaknya ke rumah saudara berdekatan.

"Punca berlakunya banjir kilat yang selalu dihadapi ini adalah dari titi yang dibina oleh penduduk tidak mengikut spesifikasi hingga mengundang banjir kilat," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Penduduk membersihkan kesan banjir kilat di dalam rumah mereka di Kampung Perik, Kuala Nerang, semalam. - Foto Ihsan penduduk
Penduduk membersihkan kesan banjir kilat di dalam rumah mereka di Kampung Perik, Kuala Nerang, semalam. - Foto Ihsan penduduk

Menurut Mohd Azlan, banjir kilat tersebut mulai surut menjelang tengah malam dan dia terpaksa mencuci kesan banjir serta lumpur di dalam rumah.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Munir Mohamad Yusoff Zakaria, pihaknya sedia maklum masalah tersebut dan pernah mencadangkan tandop dibina bagi mengalirkan air sungai dengan lebih lancar.

"Kami sedar dengan masalah ini kerana ada sampah seperti kayu tersekat. Sebab itu pihak saya mencadangkan tandop dibina supaya aliran air sungai lebih lancar, namun kerajaan ada kekangan kewangan.

"Selain itu, ada beberapa buah rumah dibina berhampiran rizab sungai dan di kawasan rendah sehingga menyebabkan air mudah melimpah ke rumah mereka,"katanya.

Tambah Munir, pihaknya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turun padang untuk menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada keluarga yang terjejas secepat mungkin.

Pada 15 September lalu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 20 keluarga sekitar mukim Kurong Hitam, Kampung Perik, Kuala Nerang di sini berdepan banjir kilat setiap kali hujan lebat selama dua jam di kawasan tersebut.