X

Kindly register in order to view this article
!

PKPP: 246 individu dikompaun berhibur di pusat hiburan

Ayob Khan melakukan pemeriksaan dokumen semasa melakukan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Bandaraya Johor Bahru, malam tadi.
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 246 individu yang sedang berhibur dikompaun dalam satu operasi bersepadu melibatkan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di dua buah pusat hiburan di bandar raya ini, malam tadi.

Operasi itu bermula jam 10 malam melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang mengetuai operasi berkenaan berkata, kesemua yang ditahan itu berasia dari 15 hingga 63 tahun melibatkan pelbagai warganegara.

"Saringan air kencing mendapati seorang lelaki tempatan berusia bawah 17 tahun ditahan kerana positif dadah jenis metafetamin. Selain itu seorang lelaki warganegara Singapura berusia 63 tahun ditahan kerana gagal kemukakan dokumen pasport.

"Seramai 11 individu masing-masing terdiri daripada seorang lelaki warga Taiwan, lelaki warga Nigeria, lelaki warga United Kingdom, lelaki China, lelaki Yamen dan wanita Indonesia serta lima wanita Thailand ditahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, warga asing itu berusia dari 18 hingga 36 tahun didapati tinggal melebihi tempoh masa termasuk ada yang tidak memiliki pasport.

Menurut beliau, warga asing itu dan individu yang positif dadah direman bermula hari ini manakala semua 246 individu berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada dalam premis tersebut.

Mereka yang ditahan itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 11 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

Menurutnya, siasatan awal mendapati premis terbabit mempunyai lesen tetapi melanggar operasi standard prosedur (SOP) yang ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Polis Johor berharap masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di sekeliling mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!