Hajiji selesai mengundi di SK Serusup, Tuaran

Calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN Sulaman Datuk Hajiji Noor ketika mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup hari ini.
- Foto Bernama
Calon Perikatan Nasional bagi kerusi DUN Sulaman Datuk Hajiji Noor ketika mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah di Sekolah Kebangsaan Serusup hari ini.
- Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor hari ini selesai mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup di sini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Hajiji yang juga calon PN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tiba jam 10.03 pagi dengan bersongkok dan berkemeja batik merah putih dan selesai menunaikan tanggungjawabnya tujuh minit kemudian.

Dua lagi calon bagi kerusi tersebut iaitu Datuk Rekan Hussein (PCS) selesai mengundi jam 8.20 pagi dan Datuk Aliasgar Basri (Warisan) dijadual mengundi pada jam 12 tengah hari ini.

Terdahulu orang ramai mula hadir seawal jam 7 pagi bagi mengundi di pusat mengundi yang dibuka jam 7.30 pagi tadi dan dijadual tutup jam 5 petang ini.

Prosedur operasi standard bagi pencegahan koronavirus (Covid-19) dilihat dilaksanakan dengan baik oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan dengan pusat pengundian itu disanitasi pada jam 4.20 petang semalam.

Selain itu, pengundi yang memasuki pusat pengundian itu diperiksa suhu badan, dipastikan memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan.

Pengundi yang didapati mempunyai gejala batuk, demam dan suhu tinggi dirujuk ke khemah khas petugas kesihatan bagi pemeriksaan lanjut sebelum dibenarkan mengundi di kawasan biasa atau kawasan khas.

Sementara itu, Hajiji ketika ditemui pemberita di luar pusat mengundi itu berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian yang dijalankan di pusat itu selain menasihatkan pengundi supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada semua pihak terutama SPR dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan proses pengundian di sini berjalan lancar, saya harap pengundi dapat membuat pilihan yang bijak," katanya.

Dalam pada itu, Rekan berkata, beliau turut berpuas hati dengan proses pengundian dan langkah pencegahan Covid-19 di pusat mengundi itu. - Bernama