Semangat juang, disiplin tinggi pacu kemenangan Perak

Skuad The Bos Gaurus meraikan kejayaan mereka selepas berjaya mengalahkan Felda United FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak di sini malam tadi. Foto: Perak TBG
Skuad The Bos Gaurus meraikan kejayaan mereka selepas berjaya mengalahkan Felda United FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak di sini malam tadi. Foto: Perak TBG
A
A
A

SEMANGAT juang dan disiplin tinggi yang ditampilkan para pemain Perak merupakan kunci utama mereka meraih kemenangan 5-1 ke atas Felda United FC pada aksi Liga Super di Stadium Perak di sini malam tadi.

Jurulatih Perak, Mehmed Durakovic berkata, beliau amat berpuas hati dengan kemenangan itu selain menyifatkan ia antara perlawanan terbaik yang disajikan anak buahnya pada musim ini.

"Secara jujurnya, pemain telah memberikan 100 peratus komitmen di atas padang. Keazaman, usaha dan disiplin yang ditunjukkan pemain pada malam ini juga cukup membanggakan.

"Walaupun menang dengan jaringan besar, saya akui ia bukan tugas mudah. Lebih-lebih lagi pasukan yang ditentang seperti Felda sememangnya akan berjuang habis-habisan bagi mengekalkan kedudukan dalam liga musim ini," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Pada perlawanan itu, empat gol skuad The Bos Gaurus dijaringkan oleh penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi pada minit ke-17, 46, 69 dan 85 manakala satu gol lagi dijaringkan penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula di minit ke-52.

Gol tunggal pasukan Felda United pula hadir melalui jaringan penyerang import Argentina, Nicolas Leandro Velez pada minit ke-62.

Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil berkata, kehilangan fokus dan kegagalan pemain untuk menyerap tekanan terutamanya pada separuh masa kedua menyumbang kepada kekalahan skuad itu.

"Pada separuh masa pertama, saya fikir kita dapat mengawal permainan walaupun ketinggalan satu gol. Namun, selepas 10 minit separuh masa kedua bersambung, ditambah dengan dua gol yang dijaringkan Perak, semuanya nampak lumpuh bagi kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kekalahan itu akan menjadi iktibar kepada anak buahnya supaya memperbaiki dan meningkatkan prestasi sebelum melayan kunjungan Terengganu, 3 Oktober ini.

"Kita harap perlawanan dengan Terengganu nanti, para pemain akan beri 100 peratus komitmen. Saya akui ia bukan mudah, tetapi inilah bola sepak, macam mana pun kita kena hadapi setiap ujian, rintangan untuk terus kekal dalam Liga Super," katanya. - Bernama