Rakyat Sabah mengundi patuh SOP Covid-19

Penduduk menjalankan tanggungjawab dengan mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Sekolah Kebangsaa Sacred Heart hari ini. Foto Bernama
Penduduk menjalankan tanggungjawab dengan mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Sekolah Kebangsaa Sacred Heart hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sejurus pusat mengundi dibuka pada jam 7.30 pagi, orang ramai mengundi di saluran disediakan seperti dewan sekolah dan dewan masyarakat sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Tinjauan seawal jam 7 pagi lagi, rata-rata pengundi telah mula beratur dan menunggu giliran di pusat pengundian dengan lengkap memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal, selain kelihatan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan saringan suhu badan dan menyediakan pensanitasi tangan.

Di beberapa tempat, turut kelihatan petugas SPR memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membawa warga emas yang berkerusi roda dari awal hingga selesai pengundian dalam keadaan cuaca yang baik dan cerah.

Penduduk mula beratur dan menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Sekolah Kebangsaan Sacred Heart hari ini. Foto Bernama
Penduduk mula beratur dan menunggu giliran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Sekolah Kebangsaan Sacred Heart hari ini. Foto Bernama

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga calon Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul, Semporna, kira-kira jam 8 pagi untuk mengundi.

Berkongsi di Twitternya, Ahli Parlimen Beluran, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee juga dilihat terawal beratur untuk mengundi bagi kerusi DUN Labuk di SK Pekan, Beluran.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN pada jam 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian melibatkan kira-kira sejuta pengundi biasa akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5 petang. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PRN Sabah: 2,540 saluran mengundi dibuka mulai 7.30 pagi

Artikel Berkaitan: