KPLB bantu pekebun kecil

Abd Latiff (kanan) dan Mohd Salim (dua dari kanan) mendengar pandangan serta luahan daripada pekebun kecil di Ranau, Sabah pada Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Kecil di Kampung Lohan pada Rabu lalu.
Abd Latiff (kanan) dan Mohd Salim (dua dari kanan) mendengar pandangan serta luahan daripada pekebun kecil di Ranau, Sabah pada Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Kecil di Kampung Lohan pada Rabu lalu.
A
A
A

RANAU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM42.9 juta bagi program pembangunan untuk dimanfaatkan pekebun kecil di Sabah.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, sebanyak RM521 juta peruntukan adalah untuk membangunkan Projek Tanaman Semula Getah, Prasarana Asas, Produktiviti Getah, Infratruktur Pemasaran, Pengembangan dan Keusahawanan kepada pekebun kecil.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, RISDA Sabah menerima sebanyak RM42.9 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan di bawah Bantuan Langsung Kerajaan kepada seramai 33,606 pekebun kecil getah dengan melibatkan kawasan seluas 104,000 hektar.

“Kebergantungan kepada produktiviti getah hari ini kurang menjamin pendapatan pekebun kecil atas pelbagai faktor.

“Oleh itu, aktiviti keusahawanan merupakan langkah yang terbaik untuk meningkatkan pendapatan, selain hasil getah,” katanya kepada pemberita pada Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Kecil di Kampung Lohan di sini pada Rabu lalu.

Hadir sama, Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Sharif; Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ali Sabudin Abd Samad.

Beliau berkata, bagi melaksanakan aktiviti keusahawanan oleh pekebun kecil, sebanyak RM40.7 juta disalurkan dan sebanyak RM28 juta dikhususkan untuk pembangunan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

“Ia bagi memastikan mereka yang terlibat dalam bidang makanan, pertanian, pembuatan dan perkhidmatan dengan tawaran geran maksimum sebanyak RM20,000.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini lebih 15,000 orang usahawan di seluruh Malaysia berjaya dibentuk dalam pelbagai bidang perniagaan.

“Malah, sejak RISDA Sabah ditubuhkan, seramai 361 orang usahawan RISDA Sabah telah berjaya dilahirkan dalam pelbagai sektor perniagaan,” katanya.

Mohd Salim (kanan) beramah mesra dengan pekebun kecil sempena Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Kecil di Kampung Lohan, Ranau pada Rabu lalu.
Mohd Salim (kanan) beramah mesra dengan pekebun kecil sempena Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Kecil di Kampung Lohan, Ranau pada Rabu lalu.

Abd Latiff turut menyarankan supaya pekebun kecil di Sabah terlibat dalam program yang boleh meningkatkan kualiti produk mereka.

“Ia termasuk program pensijilan halal, pembungkusan dan pelabelan produk, pengembangan perniagaan serta kursus keusahawanan yang dianjurkan untuk menampung pendapatan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Abd Latiff berkata, kerajaan akan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) 2020 sebagai tanda kerajaan prihatin dan menyokong pekebun kecil.

“Jumlah peruntukan untuk BMT 2020 adalah sebanyak RM201 juta dan setiap seorang pekebun kecil menerima sebanyak RM600 yang melibatkan seramai 274,639 pekebun kecil RISDA dan 35,000 pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

“BMT 2020 akan diberi pada Disember ini dan sebanyak RM300 pada Januari 2021. Pekebun kecil disaran supaya mengemas kini permohonan di Pejabat RISDA berhampiran atau membuat semakan status permohonan di bmt.risda.gov.my bagi membolehkan pembayaran dilaksanakan pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Abd Latiff (tengah) menerangkan mengenai geran sehingga RM20,000 yang diperuntukkan kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.
Abd Latiff (tengah) menerangkan mengenai geran sehingga RM20,000 yang diperuntukkan kepada pekebun kecil untuk terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan.

Terdahulu, seramai 50 orang pekebun kecil di sekitar Ranau hadir pada majlis berkenaan untuk berkongsi masalah yang mereka hadapi, selain memperkenalkan produk makanan tradisi yang mereka hasilkan di kawasan tersebut.

Abd Latiff berkata, selepas mendengar masalah mereka, beliau menasihati pekebun kecil dengan majoriti berpendapatan antara RM1,200 sehingga RM1,500 supaya menambah pendapatan melalui Program AET yang dilaksanakan di bawah kementeriannya.

“Kita beri pelbagai geran, maksimum berjumlah RM20,000 dan jika perlu sehingga RM40,000. Ia geran, bukan pinjaman bagi menambah pendapatan mereka untuk memastikan kita dapat kurangkan jurang pendapatan melalui pendapatan selain getah.

“Contohnya, ada dalam kalangan mereka yang menghasilkan produk masyarakat Kadazandusun boleh meraih pendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 tetapi pasaran mereka hanya di sini.

“Jika mereka menggunakan pemasaran digital dan kementerian ada Desa Mall, kita boleh jadikan produk mereka sampai ke seluruh dunia untuk menambah pendapatan,” kata beliau.