Rayu pindah kubur anak

Muhammad Syafiq dan isterinya merayu JAIS meluluskan proses pemindahan kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Timah, Ijok berikutan meragui status tanah perkuburan terbabit.
Muhammad Syafiq dan isterinya merayu JAIS meluluskan proses pemindahan kubur anaknya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Timah, Ijok berikutan meragui status tanah perkuburan terbabit.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pasangan suami isteri memohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) meluluskan proses pemindahan kubur anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Bukit Timah, Ijok berikutan meragui status tanah perkuburan terbabit.

Muhammad Syafiq Mohd Salleh, 29, dan isterinya Nur Syazwanie Mustaffa, 29, kehilangan anak kedua mereka, Mikhael Sufyan, yang meninggal dunia ketika berusia 10 bulan selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di rumah pengasuh di Bandar Sri Saujana, Sungai Buloh, pada 6 April 2018.

"Tanah perkuburan ini seakan terbiar dan tidak terurus selain dipercayai menempatkan kubur tidak berwaris. Jalan masuk ke juga rosak teruk, berbukit dan dipenuhi lumpur setiap kali hujan.

"Kami difahamkan tanah perkuburan ini menempatkan jenazah yang tidak dituntut ahli keluarga, namun sejauh mana kebenaran mengenainya tidak dapat dipastikan," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Syafiq berkata, dia yang sebelum ini menetap di Bandar Seri Coalfields tidak mengetahui lokasi sebenar tanah perkuburan itu memandangkan bukan penduduk asal di situ.

"Saya hanya mengetahui keadaan sebenar tempat ini sebaik melalui jalan ini ketika mengiringi jenazah anak untuk dikebumikan," katanya yang kini menetap di Bandar Puncak Alam.

Menurutnya, tujuan permohonan pemindahan kubur itu dilakukan bagi memudahkan dia dan isteri serta ahli keluarga mereka datang ziarah.

"Saya dan isteri hanya sempat ziarah pusara anak sebanyak empat kali sahaja sejak kematiannya dua tahun lalu, malah ibu dan ayah saya termasuk mentua teringin ziarah kubur arwah cucu mereka, tapi jalan masuk ke sini tidak sempurna.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri risau jika pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan memandangkan tanah perkuburan ini tidak jauh dengan lokasi pembuangan sampah haram.

"Saya merayu supaya JAIS mempertimbangkan permohonan ini kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira," katanya.

Katanya, perkara itu diajukan kepada pengurusan Masjid At Taufiqiah, Kampung Seri Sentosa pada tahun lalu untuk tindakan lanjut.

Nazir Masjid At Taufiqiah, Kampung Seri Sentosa, Mohamad Wagiman berkata, pihaknya juga masih menanti maklumat lengkap daripada JAIS berhubung status tanah perkuburan terbabit.

"Kita masih menunggu JAIS mewartakan tanah perkuburan ini kerana sekarang kita menumpang di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama bagi pengebumian jenazah.

"Setakat ini, sebanyak lapan jenazah sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saujana Utama dan masih menunggu arahan seterusnya daripada JAIS dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berharap JAIS menyelesaikan perkara itu dengan segera.

"Kita minta penduduk membuat surat permohonan kepada JAIS bagi mengetahui status tanah perkuburan dan prosedur serta syarat mengenai permohonan pengalihan kubur," katanya.