Banyak penjuru punca pecah undi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Saingan pelbagai penjuru pada pilihan raya tidak semestinya sesuatu yang baik kerana calon pilihan atau terbaik mungkin tersingkir.

Penganalisis politik, Dr Romzi Ation berkata, apabila muncul ramai calon, potensi memecah undi akan berlaku dan calon yang tidak sesuai atau layak akhirnya menang.

“Rakyat tahu keadaan seperti itu tidak sihat walaupun mereka tidak dapat bersetuju dengan punca penyebabnya,” kata penyelidik politik daripada Universiti Malaysia Sabah itu di sini.

Beliau mengulas mengenai kehadiran 447 calon termasuk 56 calon Bebas merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan purata enam calon bagi satu kawasan pilihan raya.Menurutnya, pemecahan undi boleh membawa akibat lain seperti perpecahan, polarisasi pemilih serta meninggalkan kepahitan dan sikap tidak mempedulikan dan sinis.

Romzi berkata, ramai calon merebut sesebuah kerusi DUN boleh menyebabkan dilema dalam kalangan pengundi.

“Calon akhirnya akan berfikir apakah mereka itu telah membuat langkah tepat untuk bertanding selepas melihat medan pertarungan yang begitu besar.

“Pengundi sebaliknya akan tertanya-tanya untuk memilih siapa, sama ada calon kegemaran atau calon popular.“Sekali lagi, mungkin ‘ekstremis’ boleh mengambil kesempatan daripada pembahagian undi antara dua calon ‘sederhana’,” katanya.

Jelasnya, dua jenis pemisahan suara − sktrukur dan strategik.“Pemisahan suara struktural terjadi kerana pengundi gagal menzahirkan sokongan, manakala strategik berlaku apabila pengundi menyatakan kurang sokongan terhadap calon,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah esok memperlihatkan dua gabungan parti terbesar − Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus serta lapan lagi parti bertanding dengan kerusi DUN Bengkoka menyaksikan persaingan terbanyak iaitu 11 penjuru. - Bernama

No Image Caption