X

Kindly register in order to view this article
!

Masih belum terlambat lengkapkan proses penswastaan kelab

Mohd Firdaus Mohamed
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) yakin kesemua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) mampu melengkapkan proses penswastaan kelab menjelang tarikh akhir pada 30 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas FAM, Mohd Firdaus Mohamed berkata, tempoh empat hari itu mencukupi sekiranya setiap pasukan komited untuk menyelesaikan dokumen yang belum lengkap.

"Bagi saya dalam tempoh beberapa hari yang tinggal ini cukup untuk pasukan melengkapkan dokumen yang diperlukan sebab sekarang dah ada pasukan yang sudah sampai ke tahap 80 peratus.

"Sehingga minggu depan, semua akan lengkap sebelum atau pada 30 September itu. Tiga pasukan di peringkat awal iaitu PDRM, UKM FC dan UiTM FC, mereka sedang berusaha dan minggu depan kita akan dapat tahu macam mana.

"Tetapi mereka kena komited dan bekerja keras menyiapkan kesemua yang diperlukan itu dan saya yakin dalam tempoh terdekat ini mereka akan berjaya menyiapkan proses penswastaan tersebut," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, FAM mengumumkan 12 pasukan sudah berjaya melengkapkan proses penswastaan iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Sarawak United FC, PJ City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak.

Enam pasukan lain masih dalam proses untuk melengkapkan penswastaan iaitu tiga pasukan - Selangor, Kelantan dan Felda United FC yang sudah dalam peringkat akhir manakala tiga pasukan - Pahang, Pulau Pinang dan Kedah dalam peringkat pertengahan.

FAM turut memaklumkan bahawa tiga lagi pasukan - PDRM, UiTM FC dan UKM FC pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan.

Dalam masa sama, Mohd Firdaus menjelaskan, pihaknya sedang bertungkus lumus membantu pasukan yang belum menyiapkan proses tersebut dan sentiasa berhubung dengan pasukan terlibat.

"Kita memang dah tak akan bagi tambahan masa lagi, itu muktamad. Sebab itu kita bantu mereka, kita tidak akan membiarkan mereka bersendirian menyelesaikan semua perkara ini.

"Kalau tak dapat 100 peratus pun, mungkin 97 peratus yang akan berjaya. Tetapi saya tetap yakin semua pasukan itu akan berjaya melepasi proses penswastaan tersebut sebelum tarikh akhir," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!