KL Thunder waspada Perak Bison

Mohd Syahir bakal menjadi senjata KL Thunder dalam memburu mata penting pada pertemuan menentang Perak Bison hari ini.
-Foto: FB SepakTakraw League
Mohd Syahir bakal menjadi senjata KL Thunder dalam memburu mata penting pada pertemuan menentang Perak Bison hari ini. -Foto: FB SepakTakraw League
A
A
A

PASUKAN pilihan, KL Thunder mengakui bakal berdepan tugas sukar ketika turun menentang penyandang juara, Perak Bison dalam aksi Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam ini.

Pengurus KL Thunder, Mohd Zambri Abdul Rahman berkata, beliau menjangkakan anak-anak buahnya bakal menghadapi pertarungan sengit, apatah lagi Perak Bison turut memburu kemenangan untuk bersaing di kedudukan teratas liga."Seperti yang kita tahu, Perak Bison merupakan sebuah pasukan yang kuat dan konsisten. Kita perlu berwaspada dengan corak permainan lawan terutamanya tekong mereka, Meor Zulfikar (Mat Amin).

“Namun, kita juga akan bersedia dengan strategi dan taktikal kita sendiri. Apa yang penting kita akan memberikan saingan dan jika kena pada caranya, kita akan membawa pulang kemenangan.

“KL Thunder juga mempunyai tekong, Ahmad Aizat (Mohd Nor Azmi) dan Mohd Syahir (Rosdi) yang ketika ini telah menunjukkan kemampuan mereka. Siapa pun yang diturunkan dalam perlawanan itu, sudah pasti akan bersedia sepenuhnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, KL Thunder meneruskan rentak tanpa kalah apabila menundukkan pendatang baharu, Pahang Mammoth 21-16, 21-19, sekali gus menyaksikan mereka terus mengungguli carta setakat ini.

Dalam pada itu, Mohd Zambri juga melihat pemain-pemain KL Thunder telah membentuk keserasian yang baik dan mereka kini berada pada landasan tepat untuk mencipta kecemerlangan dalam saingan STL 2020.

“Kita akan cuba terus konsisten dalam perlawanan akan datang dan mengekalkan rentak tanpa kalah ketika ini. Bukan mudah kerana saingan liga masih jauh dan bakal berdepan dengan perlawanan yang sukar.

“Ketika ini memang kami berada di kedudukan teratas liga tetap masih belum selamat kerana kedudukan antara kami dengan pasukan lain tidak jauh dan sudah tentu mereka akan mengejar kami,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kelantan Warriors turut melakar kemenangan pada hari pertama minggu kedua semalam apabila menewaskan ATM Guardians dalam pertarungan tiga set 24-22, 18-21, 21-17.