X

Kindly register in order to view this article
!

Kluster baharu dikesan babitkan kru kapal Orkim di Johor

A
A

KUALA LUMPUR - Satu lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Orkim di Johor, melibatkan kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Pasir Gudang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama bagi kluster itu adalah kes ke-10572, seorang kru kapal warga Indonesia.

“Dia ‘sign-in’ di Singapura pada 10 September. Kes mula bergejala demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah sejak 13 September, namun tidak memaklumkan kepada majikan.

“Dia ‘sign-off’ pada 17 September dan hanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta pada 22 September sebelum dirujuk ke Hospital Permai, Johor dan didapati positif Covid-19 pada 23 September lalu dimasukkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil saringan terhadap kru kapal berkenaan mendapati kes kedua positif membabitkan warga Indonesia yang tidak bergejala dan dimasukkan ke hospital sama.

“Seramai 30 kru kapal yang bertugas dalam kapal disaring dan daripada jumlah itu dua dikesan positif, 24 negatif dan empat masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di kapal tersebut serta punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bangau-bangau meningkat kepada 134 kes susulan pertambahan 74 kes baharu hari ini, diikuti Kluster Benteng LD yang bertambah 13 kes kepada 743 kes dan Kluster Laut meningkat dua kes kepada 24 kes.

Bagi Kluster Sungai, terdapat tujuh kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif kluster itu meningkat kepada 98 kes.

"Saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster berkenaan masih diteruskan serta status terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!