Anwar, majoriti dan Baling

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

“BAGAIMANAPUN yang tetap tidak berubah ialah bekas pemimpin pelajar yang memimpin tunjuk perasaan pelajar lebih 30 tahun dahulu. Walaupun realiti negara telah berubah, kerajaan telah menukarkan anak petani, nelayan dan orang kampung menjadi orang terpelajar, profesional, ahli perniagaan dan sebagainya, tetapi dia masih berada di jalan-jalan raya untuk kerja yang sama dengan menggunakan pelbagai isu rakyat, rekaan dan imaginasi.”

Begitulah kata Allahyarham Tan Sri Zainuddin Maidin yang lebih dikenali dengan nama Zam dalam sebuah artikel yang ditulis beliau dalam sebuah surat khabar pada 2 Ogos 2009

Sebelum saya ke perenggan akhir apa yang ditulis lagi oleh Zam, terlebih dahulu saya ingin memberitahu apa yang diceritakannya dalam artikel tersebut. Sebenarnya cerita tersebut ditulis berkenaan kejadian tergempar yang berlaku di Baling, Kedah.

Ia mengisahkan tentang kejadian orang Baling mati kebuluran pada akhir tahun 1974 disebabkan harga getah jatuh menjunam. Cerita mati kebuluran tercetus berikutan tunjuk perasaan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur yang diketuai oleh Anwar Ibrahim daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Diikuti pula oleh tunjuk perasaan oleh penoreh-penoreh getah di hadapan Datuk Musa Hitam yang semasa itu merupakan Menteri Perusahaan Utama. Menarik ceritanya ini. Sudah boleh dikategorikan sejarah juga.

Zam bercerita pada masa itu beliau diarahkan untuk menyiasat perkara tersebut sama ada benar atau tidak. Ini disebabkan katanya, ada seorang profesor dari Universiti Malaya yang mempercayai cerita orang Baling mati kebulur itu.Maka beliau segera bertolak ke Baling untuk mencari berita benar. Dan beliau juga ada berjumpa dengan seorang doktor dari Hospital Baling. Kata doktor itu, “Mana ada. Orang kalau mati kebuluran ini ambil masa lama juga.

Tinggal kulit dan tulang dahulu.”Walaupun begitu, memang benar kata Zam, di Baling ketika itu rakyat menderita dan susah. Tetapi tidaklah sampai mati kebulur. Cuma ia diburukkan lagi katanya oleh pelajar-pelajar yang berdemonstrasi menghasut orang-orang di Baling untuk mogok lapar. Dan akhirnya kata beliau lagi, demonstrasi selesai, setelah Musa Hitam memberi jaminan akan menyelesaikan masalah harga getah ini.

Cubaan

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2008 pula, berlaku juga cubaan untuk mengambil alih kerajaan yang dijangka pada 16 September. Pada masa itu berlaku kegemparan di mana Datuk Seri Anwar mengaku mendapat sokongan mencukupi daripada 30 hingga 40 orang ahli Parlimen Barisan Nasional yang akan melompat parti. Namun ia gagal.

Dan baru-baru ini pula terdapat lagi cubaan atau mungkin strategi agaknya, daripada Anwar yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk menumbangkan kerajaan yang ada sekarang. Tidak tahulah betul atau tidak. Apa yang tersurat dan tersirat hanya Anwar yang tahu. Namun ini telah menimbulkan kegemparan juga.

Kejadian ini juga membuktikan akan kegagalan sistem demokrasi itu sendiri apabila terdapat aktiviti menjatuhkan kerajaan yang sah dengan lompat katak ini. Undi rakyat menjadi suatu yang tidak bermakna lagi. Mungkin sebab itu Ali Syariati menentang sistem berteraskan demokrasi ini

Kita sebagai rakyat jelata menunggu sahaja. Sama ada akan jatuh seperti jatuhnya Pakatan Harapan sebelum ini atau Parlimen dibubarkan sahaja. Dan jika dibubarkan dan majoritinya tipis lagi, maka aktiviti lompat katak ini akan berlaku lagi. Begitulah agaknya berulang-ulang. Isunya, bukan rakyat jelata tetapi ahli politik itu sendiri yang rakus berebut kuasa.

Rakyat seperti biasa akan hidup dengan penuh cabaran apatah lagi moratorium akan berlahir akhir September ini. Ahli-ahli politik tidak fikir akan kesusahan rakyat jelata. Mereka hanya sibuk bertelagah sahaja.

Seperti kata Zam lagi pada perenggan akhir artikel beliau, merujuk kepada bekas pemimpin pelajar itu, “Beliau memang mempunyai kepakaran dan kecekapan mengekspolitasi isu yang kecil menjadi besar, yang hitam menjadi putih, kekarutan menjadi kebenaran malah berjaya menutup kehinaan dan dosa dari satu pentas ke satu pementasan.”

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com