Kilang lebur aluminium operasi secara haram disita

Pemeriksaan ke atas kilang melebur aluminium di Jalan Stesen Rasa, Hulu Selangor oleh penguat kuasa MDHS semalam.
Pemeriksaan ke atas kilang melebur aluminium di Jalan Stesen Rasa, Hulu Selangor oleh penguat kuasa MDHS semalam.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kilang yang menjalankan aktiviti melebur aluminium di Jalan Stesen Rasa di sini beroperasi tanpa kebenaran Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Bahagian Korporat (MDHS) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kilang sama juga dikesan tidak memiliki kelulusan Penilaian Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, operasi kilang haram itu terbongkar hasil aduan diterima daripada orang awam selepas aktiviti melebur aluminium itu menyebabkan kacau ganggu bau kepada penduduk sekitar.

"Susulan itu satu operasi penguatkuasaan dijalankan dengan kerjasama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan polis semalam.

"Pemeriksaan mendapati selain tiada lesen operasi, kilang tersebut turut melakukan pencemaran alam sekitar dengan melaksanakan aktiviti melebur aluminium kepada jongkong tanpa sistem tapisan udara yang mencukupi," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, MDHS bertindak menyita tiga unit forklift dan dua palet jongkong aluminium di bawah Undang-undang Kecil (UUK) 38(1) Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007.

"Barang disita dibawa ke pusat tahanan MDHS untuk tindakan selanjutnya. Pemotongan bekalan elektrik dan air di premis tersebut juga akan dilakukan bagi mengelakkan premis beroperasi semula.

"Pemantauan semula ke lokasi dilakukan bersama pihak JAS dalam memastikan tiada lagi pencemaran yang dilakukan," menurut kenyataan sama.

Artikel Berkaitan: