Ada pelepasan sisa terlarang berhampiran Sungai Gong: SPAN

Air Sungai Gong di Rawang kelihatan berwarna hitam yang dilaporkan JPS Gombak 19 September lalu.
Air Sungai Gong di Rawang kelihatan berwarna hitam yang dilaporkan JPS Gombak 19 September lalu.
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini mengesahkan terdapat pelepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembetungan di sekitar kawasan Sungai Gong, Rawang yang menjadi antara punca pencemaran sungai itu.

SPAN berkata, ia telah menjalankan operasi mengesan pembuangan sisa terlarang yang menyebabkan kejadian pencemaran Sungai Gong pada lewat malam semalam (24 September) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

"Empat buah lurang pembetungan diperiksa di kawasan tersebut dan sampel air sisa di dalamnya diambil untuk ujian makmal bagi mengesan bahan buangan terlarang berkenaan.

"Operasi mendapati berlakunya aktiviti perlepasan sisa terlarang ke dalam lurang pembetungan di sekitar kawasan berkenaan," kata SPAN dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima laporan insiden air Sungai Gong berwarna hitam tetapi tiada bau yang disyaki disebabkan pewarna dan menerusi siasatan lanjut LUAS menemui pelepasan efluen berwarna dan berbuih daripada discaj efluen loji rawatan kumbahan IWK GBK 134 area 5, di kawasan perindustrian Rawang.

ARTIKEL BERKAITAN: Sungai Gong tercemar lagi, bertukar warna hitam

SPAN berkata, petugas IWK di Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park pada Sabtu lalu mengenal pasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji berkenaan yang menyebabkan IWK menghentikan pelepasan efluen dan melakukan operasi pembersihan loji.

Loji itu adalah jenis longkang pengoksidaan (Oxidation Ditch-OD) yang mempunyai kapasiti 11,106 penduduk setara meliputi kawasan perindustrian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut SPAN, loji rawatan kumbahan hanya direka bentuk untuk merawat air kumbahan dan tidak mampu merawat apa-apa bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

SPAN berkata, pembuangan sisa terlarang bukan kumbahan adalah satu kesalahan menurut Seksyen 61, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006).

"SPAN memandang serius terhadap mana-mana pihak termasuk industri yang membuang atau melepaskan air sisa bukan kumbahan ke dalam atau melalui sistem pembetungan kerana ia satu perbuatan jenayah," katanya. - Bernama