Buntu nak bayar baki wang perubatan anak

Wan Sharifah bersama anak perempuannya dan Mohd Shariman (hadapan) yang mengalami masalah pundi kencing atau nephrotic syndrome dan penyakit buah pinggang di rumah sewanya di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh.
Wan Sharifah bersama anak perempuannya dan Mohd Shariman (hadapan) yang mengalami masalah pundi kencing atau nephrotic syndrome dan penyakit buah pinggang di rumah sewanya di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - "Demi anak, saya sanggup jadi peminta sedekah di pasar malam, letak tabung di kedai-kedai walaupun ia salah dan memalukan," demikian luahan seorang ibu, Wan Sharifah Wan Hamad, 33.

Ibu kepada lima anak itu berkata, dia terpaksa berbuat demikian bagi mencari wang untuk kelangsungan hidup serta menjelaskan tunggakan baki bayaran perubatan anak ke empatnya, Mohd Shariman Raif Abdullah, 9, yang mengalami masalah pundi kencing atau nephrotic syndrome dan penyakit buah pinggang.

"Kami bakal berdepan tuntutan saman jika tidak menjelaskan baki berjumlah RM2,239.

"Empat tahun lalu Mohd Shariman mendapatkan rawatan di sebuah hospital di ibu negara dan jumlah keseluruhan yang perlu dibayar RM10,000.

"Bayaran sebelum ini sudah dijelaskan oleh seorang hamba ALLAH yang sudi membantu," katanya ketika di temui di rumah sewanya di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, di sini, semalam.

Wan Sharifah berkata, bukan dia melarikan diri atau tidak mahu membayar baki tersebut tetapi tidak mampu.

Katanya, demi mengumpulkan wang dia pernah meminta sedekah di pasar malam dan meletakkan tabung di kedai-kedai.

"Saya pernah tertangkap ketika sedang meminta sedekah dan duit sumbangan yang diperoleh daripada tabung sekitar RM5 hingga RM10 sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Sejak awal tahun ini saya cuba berniaga ais krim goyang dan wafer secara kecil-kecilan di pasar malam dan pagi.

"Alhamdulillah daripada jualan tersebut saya dapat menampung perbelanjaan keluarga dan cuba menyimpan wang untuk jelaskan baki rawatan anak.

"Namun disebabkan penularan pandemik koronovirus (Covid-19), perniagaan tidak dapat diteruskan," katanya.

Keluarga Wan Sharifah menerima kunjungan dan sumbangan daripada Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) dan Pasaraya Econsave di rumah sewanya di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh.
Keluarga Wan Sharifah menerima kunjungan dan sumbangan daripada Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) dan Pasaraya Econsave di rumah sewanya di Kampung Permatang Gading, Bukit Abal, Pasir Puteh.

Menurutnya, suami, Sulaiman Stapa, 49, hanya mengambil upah sebagai pemotong rumput dan pendapatannya tidak menentu.

Wan Sharifah berkata, Mohd Shariman merupakan anak hasil perkahwinan pertamanya dan mempunyai tiga lagi anak yang berusia 13 hingga 10 tahun.

Katanya, Sulaiman pula merupakan suami keduanya dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun.

Terdahulu, Wan Sharifah menerima kunjungan daripada daripada Kelab Sukarelawan Prihatin Kelantan (Volunteer i-Care) dan Pasaraya Econsave yang menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Sementara itu Pengerusi Volunteer i-Care, Muhammad Afiq Aiman Shukry berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpulkan dana bagi membantu menjelaskan baki rawatan Mohd Shariman untuk mengelakkan mereka berdepan tindakan undang-undang.

Katanya, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akuan Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Volunteer i-Care di 03-00-2411000047-97.