Ilham Centre dakwa Warisan Plus dahului GRS

Keadaan bendera dipasang ketika tinjauan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. -Foto Bernama
Keadaan bendera dipasang ketika tinjauan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Badan penyelidikan bebas Ilham Centre mendakwa Parti Warisan Sabah (Warisan) Plus ketika ini mendahului Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana mempunyai 23 kerusi selamat boleh dimenangi.

Sementara parti lawan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang turut dianggotai parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pula didakwa mempunyai 19 kerusi selamat.

Selebihnya iaitu sebanyak 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lain menjadi rebutan semua pihak termasuk calon Bebas dan parti-parti lain.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini merupakan penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 bilangan kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus berbanding lima kerusi yang cenderung kepada GRS manakala 12 kerusi yang betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” kata Ilham Centre dalam kenyataan hari ini.

Tanpa menyenaraikan kerusi yang boleh dimenangi oleh Warisan Plus dan GRS, badan penyelidik itu berkata, PRN itu masih lagi menjadi medan terbuka bagi GRS dan Warisan Plus sehinggalah peti undi ditutup pada jam 5.30 petang esok.

ARTIKEL BERKAITAN: GRS mungkin ‘gigit jari’ di 15 kerusi

Ilham Centre yang melakukan tinjauan melalui pasukan penyelidikannya yang bermula seminggu sebelum hari penamaan calon iaitu 8 September sehingga 24 September lalu turut menyifatkan PRN ini paling sukar dan mencabar untuk membuat bacaan dan prediksi.

Artikel Berkaitan:

“Sengitnya pertembungan ini umpama 73 pilihan raya kecil yang berlangsung serentak di seluruh Sabah kerana perbezaan pola pengundian di setiap DUN.

“Sukar untuk memilih sesuatu angkubah dan konseptual untuk digeneralisasikan bagi keseluruhan DUN di sini. Setiap DUN mempunyai angkubah dan konseptual yang tersendiri,” katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang berjaya memberi imbuhan dan pujukan kepada pengundi pada saat-saat akhir mampu menjadi faktor kemenangan kepada pihak mereka.