Pemimpin Korea Utara kemuka permohonan maaf

Kim Jong-un. - Foto AFP
Kim Jong-un. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada Jumaat mengemukakan permohonan maaf atas insiden pembunuhan membabitkan seorang pegawai perikanan Korea Selatan, lapor agensi berita Yonhap.

Tindakan itu dilihat satu perkara luar biasa dilakukan Korea Utara, sehari selepas Korea Selatan mengutuk pembunuhan itu dan menuntut permohonan maaf. Ia juga menunjukkan Pyongyang seolah-olah tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

Dalam satu perutusan, sebuah agensi pengintipan utama, menurut pemimpin Jong-un sebagai berkata, beliau 'sangat menyesal' kerana menyebabkan Presiden Moon Jae-in dan rakyat Korea Selatan 'kecewa' dengan kejadian itu, menurut Pejabat Presiden Korea Selatan pada Jumaat.

Jarang sekali seorang pemimpin Korea Utara mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Korea Selatan.

Sebelum ini pada Julai 2008 seorang warga Korea Selatan, Park Wang-ja maut ditembak di resort gunung Kumgang di Korea Utara ketika mengembara di zon larangan. Sehari selepas itu Korea Utara mengeluarkan kenyataan menyatakan kesal dengan kejadian itu tanpa permohonan maaf.

Permintaan maaf rasmi Jong-un itu mungkin mencerminkan Korea Utara tidak mahu meningkatkan ketegangan dan memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Hubungan kedua-dua negara terhenti sejak sidang kemuncak antara Jong-un dan Presiden Donald Trump pada awal tahun lalu berakhir tanpa sebarang perjanjian.

Ia diburukkan lagi apabila Korea Utara mengebom pejabat perhubungan di bandar sempadan Kaesong dan memutuskan komunikasi rentas sempadan sebagai protes pengiriman risalah anti-Pyongyang oleh aktivis Korea Selatan.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai Korea Selatan hilang, ditembak mati di Korea Utara

Artikel Berkaitan: