Covid-19: Kes baharu tiga digit buat kali kedua dalam minggu ini

Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes baharu positif Covid-19 kembali kepada tiga digit buat kali kedua dalam minggu ini, dengan 111 kes baharu dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, 107 merupakan penularan dalam negara dan empat lagi kes import.

"Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 adalah 10,687 kes dengan kebolehjangkitan 858 kes," katanya.

Menurutnya, kes baharu penularan dalam negara dikesan di Sabah dengan 97 kes positif Covid-19.

"KKM mengesan 74 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, 13 daripada Kluster Benteng LD dan dua Kluster Laut," katanya.

Beliau berkata, masing-masing dua kes dikesan semasa saringan di tempat kerja, saringan rujukan ke hospital dan saringan bergejala.

"KKM turut mengesan satu kes positif Covid-19 melalui saringan pernafasan akut teruk (SARI) dan satu lagi di Pintu Masuk Antarabangsa," katanya.

Di Kedah pula, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak lapan kes dikesan membabitkan tujuh Kluster Sungai dan satu kes SARI di Hospital Sultanah Bahiyah.

"Di Pahang dan Selangor, masing-masing terdapat satu kes positif yang baru pulang dari Semporna serta Kota Kinabalu, Sabah," katanya.

Sehingga kini terdapat empat kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk tiga memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian kekal 133 kes dengan 1.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Sementara itu, terdapat 30 kes yang telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 9,696 kes bersamaan 90.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.