Tempoh kempen PRN Sabah tamat jam 11.59 malam ini: SPR

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh menjawab pertanyaan media selepas proses semakan peti undi menjelang PRN Sabah ke-16 di Dewan Kebudayaan Sabah hari ini. -Foto Bernama
Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh menjawab pertanyaan media selepas proses semakan peti undi menjelang PRN Sabah ke-16 di Dewan Kebudayaan Sabah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Tempoh berkempen bagi semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

Sehubungan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh mengingatkan semua calon supaya menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi setelah tamat tempoh kempen ditetapkan.

Menurutnya, tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar pusat mengundi atau melalui saluran media sosial sebaik tamat tempoh berkempen.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barang semasa hari mengundi.

"Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Abdul Ghani dalam kenyataannya berkata, pada hari mengundi, semua pengundi diminta mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh, melalui proses saringan suhu badan, menggunakan cecair pembasmi kuman dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakkan fizikal.

"Cecair pembasmi kuman akan dibekalkan di semua pusat mengundi pada hari mengundi. Pengundi perlu melalui penggunaan cecair pembasmi kuman di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Ghani berkata, petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan itu dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi.

"Pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.

"Pengundi berkenaan akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut, manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi perlu memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah untuk keluar sementara ke pusat mengundi," katanya.