1.08 juta rakyat Sabah mengundi esok

Petugas SPR membuat persediaan untuk proses pengundian esok di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang hari ini. - Foto Facebook SPR
Petugas SPR membuat persediaan untuk proses pengundian esok di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang hari ini. - Foto Facebook SPR
A
A
A

KOTA KINABALU - Seramai 1.08 juta pengundi bakal menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka sebanyak 741 pusat mengundi dan 2,540 saluran membabitkan seramai 28, 656 petugas bagi proses pengundian itu.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pada hari ini pihaknya melakukan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang dijalankan esok.

"Semakan ini untuk memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian pada hari esok lengkap dan berkeadaan baik.

"Peralatan ini diagihkan kepada ketua-ketua tempat mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

SPR membuat persediaan untuk proses pengundian esok di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang hari ini. - Foto Facebook SPR
SPR membuat persediaan untuk proses pengundian esok di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang hari ini. - Foto Facebook SPR

Dalam kenyataan itu, Abdul Ghani turut menasihatkan supaya pengundi keluar mengundi mengikut masa mengundi yang digalakkan.

"Jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu diwartakan.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan majikan perlu membenarkan pekerja keluar mengundi esok," katanya.

Menurutnya, majikan yang menghalang pekerja keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.