Banci Malaysia: Penduduk Putrajaya paling ramai tunai tanggungjawab

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

PUTRAJAYA - Berbaki lima hari lagi sebelum berakhirnya Banci Malaysia 2020 dalam talian, penduduk Putrajaya menjadi penyumbang tertinggi menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara dengan mengisi bancian kendiri secara dalam talian atau e-Census.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, Putrajaya mencatatkan kadar e-Census sebanyak 46.7 peratus dan turut menyumbang peratusan tertinggi bancian bagi tempat tinggal dan isi rumah berbanding negeri lain.

"Bagi peratusan tempat tinggal, sebanyak 5.8 peratus telah direkodkan, manakala 6.5 peratus bagi isi rumah," katanya kepada Sinar Harian di pejabatnya di sini hari ini.

Menurutnya, Perak menjadi respons banci kedua tertinggi dengan peratusan sebanyak 11.4, diikuti Johor sebanyak 9.2 peratus.

"Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 8.2 peratus respons, Negeri Sembilan (7.7 peratus), Perlis dan Kuala Lumpur (6.9 peratus), Labuan (6.1 peratus) serta Selangor (5.4 peratus).

"Sabah merekodkan bilangan terendah memberi maklum balas banci dengan kadar sebanyak 2.4 peratus, diikuti Kelantan (2.8 peratus) dan Terengganu (3.0 peratus).

"Bagi negeri lain pula, Pahang merekodkan sebanyak 4.4 peratus, Sarawak (4.3 peratus) dan Kedah (4.2 peratus)," katanya.

Mohd Uzir yang merupakan Pesuruhjaya Banci berkata, setakat ini seramai 1.93 juta penduduk telah menjalankan tanggungjawab tersebut berbanding anggaran penduduk tahun 2020 seramai 32.7 juta.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Perangkaan telah menerima sebanyak 677,774 pendaftaran e-Census dengan 495,240 telah selesai, manakala sebanyak 182,534 pendaftaran dalam proses," katanya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai bertindak segera menyempurnakan e-Census sebelum ia berakhir pada 30 September ini.

"Ambil peluang ini untuk membantu negara mendapatkan data-data bagi pembangunan pada masa akan datang," katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan aliran trafik e-Census yang tinggi apabila ramai yang mengisinya pada saat akhir, Uzir berkata, pihaknya telah bersedia menghadapi perkara itu.

"Kita telah berbincang dengan beberapa agensi termasuk Kementerian, Sains dan Teknolongi (MOSTI) untuk bekerjasama bagi menanganinya," katanya.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 adalah projek banci yang dijalankan di semua kawasan perumahan dan kediaman. Ia dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama atas talian bermula 7 Julai sehingga 30 September dan fasa kedua secara bersemuka pada 7 Oktober.

Banci Malaysia 2020 merupakan kali keenam dijalankan sejak tahun 1963.