Rasuah: Penjawat awam golongan berisiko tinggi


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) Tan Sri Abu Kassim Mohamed. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pelaksanaan keputusan dan perolehan kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata, kajian mendapati sebanyak 40 peratus daripada pesalah yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah kalangan penjawat awam bagi tempoh 2011 hingga 2015.

Rasuah adalah isu kritikal yang perlu ditangani secara sistematik dan menyeluruh kerana ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan pada jumlah kos modal dan pembangunan bagi apa jua program atau projek yang dilaksanakan.

“Ini sudah tentu memberikan kerugian besar kepada negara. Rasuah bukan semata-mata kesalahan undang-undang. Tetapi juga kesalahan sosial dan peradaban yang boleh menjejaskan imej Malaysia di mata dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 di sini hari ini.

Pelan yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu dibangunkan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC) dan mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor.

Ismail berkata kajian Persepsi Integriti Nasional (KPIN) mendedahkan bahawa penjawat awam juga kurang kefahaman mengenai rasuah, khususnya yang berkaitan dengan 10 kesalahan rasuah seperti yang terkandung dalam akta SPRM 2009.

Beliau berkata pelaksanaan NACP bagi tempoh lima tahun akan datang itu amat signifikan dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Mengalu-alukan pelancaran pelan itu, Ismail berharap imej dan kualiti perkhidmatan awam dapat dimantapkan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara menerusi pelaksanaan NACP.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat NACP yang mahu menjadikan penjawat awam efisien dan responsif dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama. Pada masa yang sama, persepsi negatif masyarakat terhadap penjawat awam turut dapat diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata pelan itu juga dapat membantu menangani isu governans, integriti dan anti rasuah secara menyeluruh, khususnya dalam perkhidmatan awam selain undang-undang yang membolehkan tindakan punitif diambil terhadap pegawai yang sengaja menyebabkan ketirisan, pemborosan atau pembaziran dana kerajaan.

Ismail berkata pembaharuan ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amnya amat perlu dilaksanakan dalam sektor awam demi menambah baik kualiti penyampaian perkhidmatan.

“Pemisahan kuasa antara badan pemerintah, perundangan dan kehakiman perlu diutamakan dalam memastikan integriti perkhidmatan awam tidak dipertikaikan.

“Doktrin pengasingan kuasa dalam amalan demokrasi ini amat penting bagi melindungi kebebasan semua pihak dan untuk menghindari daripada berlaku salah guna kuasa,” katanya.

Demi mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, Ismail berkata perkhidmatan awam perlu bebas daripada rasuah.

Penjawat awam juga akan sentiasa bersama-sama dan terus menyokong dalam menjayakan agenda anti rasuah negara ini, katanya.

Ismail menyeru kepada semua penjawat awam agar dalam melaksanakan tugas, penjawat awam hendaklah mempamerkan sikap tegas, berani, adil dan sanggup mengambil risiko bagi menentukan integriti dan governans tidak dikompromikan.

“Saya percaya, dengan pelaksanaan NACP dalam kalangan penjawat awam, prestasi sektor awam dan kepercayaan rakyat akan bertambah baik.

“Oleh itu, saya berharap agar semua penjawat awam dapat memberikan sepenuh komitmen terhadap pelan ini bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan pelaksanaannya,” katanya. - Bernama