Tiada siasatan rasmi kerana hakim telah bersara

M. Indira Gandhi
M. Indira Gandhi
A
A
A
KUALA LUMPUR - Badan kehakiman tidak dapat menjalankan siasatan rasmi terhadap hakim-hakim yang bersara atas dakwaan campurtangan badan kehakiman dalam kes penukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi dan kes rayuan Karpal Singh atas tuduhan menghasut kerana hakim-hakim tersebut telah bersara.

Pejabat Ketua Hakim Negara dalam sidang media berkata oleh kerana hakim-hakim kanan yang berkenaan tidak lagi menjadi anggota badan kehakiman, siasatan rasmi tidak dapat dijalankan di bawah peruntukan Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan Kod Etika Hakim 2009 berhubung dakwaan salah laku hakim yang bersara.

Dalam kes pertama, ia berkata pada Persidangan Undang-undang Antarabangsa Malaysia yang diadakan pada 16 Ogos 2018 di sini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer telah membentangkan kertas kerja bertajuk “‘The Judiciary as the Principal Guardians of the Rule of Law”.

Kenyataan itu berkata semasa sesi tersebut, Hakim Hamid menyatakan bahawa panel hakim yang beliau menjadi pengerusi, semasa mendengar kes Indira Gandhi oleh Mahkamah Rayuan pada Jan 2016, "dipanggil oleh seorang hakim kanan berhubung dakwaan bahawa beliau antara lain melakukan aktivisme kehakiman.

Hakim Hamid juga mendedahkan bahawa seorang hakim kanan telah memarahinya dalam perikalu yang secara tidak bertamadun." Badan Kehakiman Malaysia menyifatkan dakwaan berhubung campurtangan kehakiman oleh mana-mana hakim sebagai pelanggaran secara serius undang-undang dan etika, " katanya.

Ia selanjutnya berkata siasatan dalaman terhadap dakwaan itu dilakukan oleh Badan Kehakiman dan semua pihak berkaitan diminta memberikan pendapat mereka berhubung insiden tersebut.

"Selepas pertimbangan yang wajar, didapati terdapat perbezaan penjelasan yang diberikan, oleh itu Badan Kehakiman Malaysia tidak berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan muktamad mengenai dakwaan oleh Hakim Hamid.

Dalam apa jua keadaan, oleh kerana hakim kanan berkenaan telah bersara dan bukan lagi anggota badan kehakiman, siasatan rasmi tidak dapat dijalankan di bawah peruntukan Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan Kod Etika Hakim 2009 berhubung dakwaan salah laku hakim berkenaan yang telah bersara, "katanya.

Dalam kes Karpal Singh, kenyataan itu berkata satu laporan polis telah dibuat oleh seorang anggota badan peguam bahawa terdapat campur tangan badan kehakiman oleh seorang hakim kanan dalam kes rayuan Karpal Singh.
Artikel Berkaitan:


Ia berkata oleh kerana dakwaan berkenaan menyentuh hakim yang telah bersara, Badan Kehakiman juga tidak dapat menjalankan siasatan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 dan Kod Etika Hakim 2009 berhubung dakwaan salah laku hakim yang telah bersara.

"Bagaimanapun, oleh kerana dakwaan yang dibuat itu serius, Badan Kehakiman Malaysia mmenjalankan siasatan dalaman, yang sejak itu telah digantung disebabkan siasatyan polis terhadap kes itu dan bahawa rayuan dalam kes itu ke Mahkamah Persekutuan masih belum selesai. Ini untuk memastikan tidak berlaku prasangka disebabkan siasatan polis serta rayuan yang masih menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan, "kata Pejabat itu.

Bagaimanapun, Badan Kehakiman ingin mengulangi bahawa ia tidak dapat diterima bagi mana-mana hakim tertakluk kepada apa-apa teguran oleh mana-mana hakim kanan berhubung pandangan yang dinyatakan dalam apa-apa keputusan.

Ia berkata proses membuat keputusan mana-mana hakim terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasanya dan tidak boleh dipengeruhi oleh sesiapa sahaja di dalam atau di luar Badan Kehakiman.

"Sebarang teguran itu bertentangan dengan gagasan kemerdekaan yang dinikmati oleh setiap hakim dalam Badan Kehakiman. Badan Kehakiman Malaysia tidak akan bersetuju dengan sebarang campur tangan kehakiman oleh sesiapa, terutama oleh hakim dalam mendengar kes-kes di hadapan mahkamah, "katanya.- Bernama