X

Kindly register in order to view this article
!

Teraju peruntuk RM47.5 juta untuk program DPUB di Sabah

Mohd Redzuan (dua dari kiri) melihat pameran berkaitan tiram yang dipamerkan pada program ‘Oyster Scale Up Project’ DPUB Sabah di Kampung Penimbawan, Tuaran hari ini.
A
A

TUARAN - Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) memperuntukkan RM47.5 juta bagi melaksanakan program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) di Sabah sejak lima tahun lalu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sehingga kini sebanyak RM34.6 juta daripadanya disalurkan kepada rakan kolaboratif meliputi agensi kerajaan negeri dan agensi pelaksana.

“Seramai 10,373 peserta terlibat telah mencipta 700 peluang pekerjaan baharu. Kerajaan juga berharap program seperti ini mampu menaiktaraf kehidupan komuniti bumiputera terutama golongan B40 di kawasan luar bandar.

“Selain itu, ia juga sejajar dengan agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang bermatlamat untuk membolehkan rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat mengecapi taraf hidup selesa menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan dan menyerahkan sijil lantikan bagi program ‘Oyster Scale Up Project’ DPUB Sabah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman di Kampung Penimbawan di sini hari ini.

Pada program itu seramai 30 pengusaha dan penternak tiram daripada golongan B40 dari dua lokasi di daerah ini dikenalpasti untuk menyertai program tersebut.

Mohd Redzuan berkata, menerusi program itu, peserta dibimbing oleh Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai rakan pelaksana yang menyediakan latihan, memberi khidmat nasihat serta bimbingan, memindahkan kemahiran dan pengetahuan, menguruskan bantuan kewangan dan membekalkan fasiliti.

“Ia bertujuan adalah bagi meningkatkan pendapatan dan menaiktaraf kualiti kehidupan peserta terlibat selain diharap dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Sementara itu, Md Silmi berkata, program yang dilaksanakan itu adalah satu usaha dan komitmen kerajaan Persekutuan dalam membantu komuniti setempat khususnya pengusaha tiram di Sabah.

“Teraju akan terus membantu golongan berpendapatan rendah (B40) bukan hanya di bandar, malah di kawasan pedalaman menerusi kerjasama dengan Yayasan Sabah dan Jabatan Perikanan Sabah berteraskan keterbukaan, keterangkuman dan kesaksamaan.

“Ia bagi menangani jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, pembangunan wilayah dan rantaian bekalan untuk membela serta meningkatkan keupayaan semua rakyat supaya tiada yang ketinggalan,” katanya.

Dua kampung yang dikenalpasti adalah Kampung Penimbawan dan Kampung Lentuong di Teluk Ambong masing-masing dengan 15 orang peserta setiap kampung.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!