Asyraf gesa Pas fokus pada PRN Sabah

Aysraf Wajdi Dusuki
Aysraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pas digesa untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berbanding dakwaan berlaku perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen daripada UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana dakwaan berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup pada minggu hadapan.

"Fokus PRN Sabah dahulu, minggu hadapan dalam Mesyuarat Induk Muafakat Nasional secara tertutup, pimpinan boleh dapatkan penjelasan atas semangat musyawarah dan ukhuwah," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Asyraf berkata, dalam masa sama UMNO juga memerlukan penjelasan daripada Pas antaranya susulan tindakan politik parti itu.

"Sama-sama perlukan penjelasan termasuk penyertaan Pas sebagai salah satu komponen parti dalam Parti Perikatan Nasional.

"InsyaALLAH UMNO tidak pernah membelakangi Pas jauh sekali untuk mengkhianati prinsip bersama sebagaimana yang digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional," katanya.

Terdahulu, Pas meminta penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen daripada UMNO terhadap Perdana Menteri.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan merasakan jika benar keadaan itu, ia bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang temaktub dalam Piagam Muafakat Nasional dimeterai pada 14 September 2019.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tuntut penjelasan UMNO

Kelmarin Anwar mengumumkan beliau memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baharu namun belum mendedahkan jumlah sokongan diperoleh kerana perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Berikutan pengumuman itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, beliau difahamkan ramai ahli Parlimen parti itu dan Barisan Nasional menyokong Anwar.

Malah Zahid turut menghormati pendirian itu dan tidak dapat menghalangnya namun setakat ini belum ada lagi ahli Parlimen daripada UMNO mengesahkannya sebaliknya ramai yang tampil menafikan mereka menyertai Anwar.