X

Kindly register in order to view this article
!

Ucapan tular sokong Warisan semasa PRK Kimanis, kata Azmin

Mohamed Azmin
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan kononnya beliau memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berdasarkan ucapannya yang tular di media sosial.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan ucapan berkenaan dibuat ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada Januari lalu untuk membantu calon Warisan yang merupakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

"Penyebaran ucapan tersebut yang diulang semula beberapa jam sebelum hari pembuangan undi PRN Sabah membuktikan bahawa Warisan berada dalam situasi yang kian terdesak dan cuba mendapatkan sokongan saya untuk calon-calon Warisan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pengundi-pengundi di Sabah untuk memberikan sokongan yang kuat dan padu kepada calon-calon PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam PRN esok.

"Saya telah menjelajah ke hampir seluruh negeri Sabah termasuk kawasan pedalaman sepanjang tempoh kempen PRN Sabah ini.

"Dalam program-program menyantuni rakyat Sabah, saya dapat merasakan bahawa dukungan rakyat cukup kuat dan utuh kepada PN dan rakan-rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menuntut perubahan," katanya.

Malah, beliau turut yakin dan percaya, rakyat Sabah mendambakan sebuah kerajaan negeri yang stabil dan mempunyai hubungan baik dengan Persekutuan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!