Dua beradik didakwa bunuh rakan

Dua beradik T. Thurairaj, 28, dan T. Gunaraj, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan mereka dalam kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Taman Pengkalan Indah, dua minggu lepas. -Foto Bernama
Dua beradik T. Thurairaj, 28, dan T. Gunaraj, 27, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakan mereka dalam kejadian pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Taman Pengkalan Indah, dua minggu lepas. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang rakan lelaki, di Taman Pengkalan Indah, Ahad lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap,T. Thurairaj, 28, yang bekerja sebagai pemandu lori, dan T. Gunaraj, 27, penganggur di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh seorang pemandu lori, R. Anbarasu, antara jam 9.15 malam dan 9.30 malam di Jalan 17, Taman Pengkalan Indah di sini pada 13 September lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, seorang penjaga stor, M. Ananababu, 30, turut didakwa atas pertuduhan mencederakan abang tertuduh, T. Pragash, 33, menggunakan parang.

Ananababu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa telah melakukan khianat dengan memecah cermin hadapan dan tepi kenderaan jenis Proton Wira milik Pragash sehingga menyebabkan kerugian RM1,000.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua kesalahan itu dilakukan di lokasi yang sama kira-kira jam 9 malam iaitu sebelum kejadian bunuh Anbarasu berlaku.

Tiada jaminan ditawarkan kepada Ananababu dan mahkamah menetapkan 30 Oktober depan sebagai sebutan semula kes bagi kesemua pertuduhan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arthana Sarma Rao manakala Peguam Haijan Omar mewakili Thurairaj dan Gunaraj, sementara Ananababu tidak diwakili peguam.

Sebelum ini Sinar Harian menyiarkan Seorang pemandu lori maut ditetak dengan parang dalam satu pergaduhan di Taman Pengkalan Indah.

Siasatan awal mendapati pergaduhan tercetus selepas pertengkaran mulut berpunca daripada mangsa dan rakannya yang membuat bising dengan memulas pendikit motosikal di hadapan rumah penduduk taman perumahan terbabit.