Polis jamin PRN Sabah berlangsung aman

Hazani (duduk, kanan) ketika sidang akhbar di IPK Sabah, Kota Kinabalu hari ini.
Hazani (duduk, kanan) ketika sidang akhbar di IPK Sabah, Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis memberi jaminan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah termasuk proses pengundian yang dijadualkan esok akan berjalan lancar dan aman.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, sehingga kini tahap keselamatan negeri Sabah dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang kekacauan yang mengganggu ketenteraman awam bermula dari proses penamaan calon.

Oleh demikian menurutnya, pengundi diingatkan tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan untuk keluar mengundi khususnya dari segi ancaman penjenayah dan sebagainya.

“Hari ini adalah hari terakhir untuk tempoh berkempen sehingga jam 11.59 malam dan esok bermulalah hari pengundian untuk PRN Sabah yang ke-16. Sukacita dimaklumkan bawah tahap keselamatan Sabah kini dalam terkawal.

“Saya beri jaminan perjalanan PRN kali ini berjalan lancar dan aman. Untuk esok kita juga akan mengadakan beberapa sekatan jalan raya tetapi selepas proses pengundian bagi mengawal pergerakan dan mempertingkatkan keselamatan awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Hazani berkata, semua pengundi diingatkan supaya membawa dokumen yang sah atau pengenalan diri atau resit pengenalan tulen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan kelancaran proses pengundian esok.

“Namun bagi resit pengenalan sementara yang dikeluarkan JPN kita akan buat semakan dengan pihak JPN kerana kebanyakan maklumat yang kita terima resit ini dikeluarkan secara palsu.

"Jadi kita akan buat pemeriksaan sepenuhnya dengan kerjasama JPN,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Hazani berkata, pihaknya turut meminta masyarakat untuk sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika proses pengundian.

Katanya, pihaknya juga akan memastikan pematuhan SOP yang ditetapkan dipatuhi oleh pengundi termasuk pemakaian pelitup muka, mengimbas suhu, penggunaan cecair pembasmi kuman dan penjarakkan fizikal.

“Tindakan tegas kita akan ambil pada mana-mana individu yang melanggar SOP dan undang-undang berkaitan.

"Untuk makluman, pihak SPR dan KKM turut menyediakan satu khemah khas kepada semua pengundi yang mempunyai gejala berkaitan Covid-19,” katanya.